Kadar 5G dicadang DNB untuk syarikat telekomunikasi ‘agak mahal’, kata veteran industri

Kadar 5G dicadang DNB untuk syarikat telekomunikasi ‘agak mahal’, kata veteran industri

Bekas ketua pegawai eksekutif Jaring Mohamed Awang Lah berkata kadar sebegitu tinggi, jika dilulus SKMM itu boleh menghalang pembelian daripada syarikat telekomunikasi.

Bekas ketua pegawai eksekutif Jaring Mohamed Awang Lah berkata, kadar produk rangkaian 5G harus mengikut Standard Mandatori mengenai Harga Capaian (MSAP) yang ‘agak adil’.
PETALING JAYA:
Ketua penyedia perkhidmatan internet pertama Malaysia menyuarakan kebimbangan mengenai kadar produk rangkaian 5G yang dicadangkan oleh Digital Nasional Berhad (DNB), dengan berkata, ia “agak mahal”.

Bekas ketua pegawai eksekutif Jaring, Mohamed Awang Lah berkata, kadar yang sebegitu tinggi, jika diluluskan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), boleh menghalang pembelian daripada syarikat telekomunikasi.

“Berita baiknya ialah SKMM belum meluluskan kadar yang dicadangkan itu, jadi ia belum muktamad,” katanya kepada FMT.

Menurut satu laporan laman sesawang teknologi SoyaCincau, Tawaran Akses Rujukan (RAO) yang diterbitkan oleh DNB baru-baru ini menyebut bahawa kadar Produk Rangkaian Borong 5G Nasional dicaj setiap gigabit sesaat (Gbps) pada setiap bulan.

Mohamed Awang Lah.

Caj asas ialah RM30,000 setiap Gbps untuk penggunaan 1,200 Gbps sebulan. Untuk penggunaan melebihi jumlah tersebut, DNB akan mengenakan kadar diskaun sebanyak RM22,000 setiap Gbps

“RM30,000 setiap Gbps sebulan ini mencapai RM30 setiap Megabit sesaat (Mbps) sebulan,” kata Mohamed.

“Saya melihatnya sangat mahal berbanding dengan kadar yang ditetapkan oleh SKMM di bawah Standard Mandatori mengenai Harga Capaian (MSAP), iaitu hanya sekitar RM7 setiap Mbps sebulan.”

Beliau mempersoalkan mengenai keperluan dua sistem penetapan harga yang berbeza, dengan berkata, kadar itu harus mengikut MSAP, yang “agak adil”.

Sebelum ini, Celcom Axiata Berhad, Digi Telecommunications Sdn Bhd, Maxis Berhad dan U Mobile Sdn Bhd berkata, mereka masih belum menyatakan persetujuan terhadap syarat RAO disebabkan isu-isu yang tidak dapat diselesaikan.

“RAO dalam bentuk terbitan semasa tidak akan membolehkan perkhidmatan 5G mampu milik dan berkualiti untuk rakyat dan perniagaan di Malaysia dan akan menghalang pecutan perkhidmatan dan penembusan 5G di negara ini,” kata syarikat telekomunikasi itu dalam kenyataan bersama pada April.

Ulasan daripada Mohamed itu dibuat susulan laporan bahawa hanya Telekom Malaysia Bhd dan YTL Communications Sdn Bhd telah bersetuju untuk memiliki pegangan ekuiti dalam DNB untuk pelancaran 5G.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Annuar Musa berkata, syarikat telekomunikasi yang tidak mengambil pegangan ekuiti menjelang 30 Jun tidak akan menjadi sebahagian daripada pelaksanaan perkhidmatan itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.