JPJ keluar lebih 8,000 saman dalam Op HRA

JPJ keluar lebih 8,000 saman dalam Op HRA

Dalam operasi itu juga, tiga pemandu bas digantung lesen selepas didapati positif dadah.

JPJ memeriksa 44,737 kenderaan, sejak operasi itu bermula 29 Apr lalu, kata Pengarah Kanan Penguatkuasa Lokman Jamaan. (Gambar Bernama)
GENTING HIGHLANDS:
Sebanyak 8,036 saman kesalahan jalan raya dikeluarkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sepanjang Operasi Hari Raya Aidilfitri (HRA) 2022, di seluruh negara sehingga semalam.

Kesemua saman berkenaan dikeluarkan selepas JPJ memeriksa 44,737 kenderaan, sejak operasi itu bermula, pada 29 Apr lalu.

Pengarah Kanan Penguatkuasa JPJ Lokman Jamaan, berkata ini menunjukkan bahawa masih ramai lagi pemandu yang mengingkari peraturan jalan raya dikeluarkan walaupun pihaknya sebelum ini telah menasihati pemandu agar mematuhi peraturan itu.

“Kami berharap untuk tempoh dua hingga tiga hari sebelum habis tempoh operasi HRA pada 8 Mei ini, kesalahan jalan raya dapat dikurangkan dan pengguna jalan raya terus mematuhi peraturan ditetapkan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melakukan pemeriksaan khas di Terminal Bas Genting Highlands, Pahang, di sini, hari ini.

Sementara itu, dalam operasi khas teknikal JPJ itu, Lokman berkata, sebanyak 11 bas diperiksa dan kesemuanya mematuhi peraturan ditetapkan.

Katanya, operasi berkenaan bertujuan memastikan kenderaan awam terlibat berada dalam keadaan baik, termasuk mempunyai brek kedua selain pemandu yang mematuhi undang-undang.

“JPJ amat bertegas dengan bas-bas ekspres dan persiaran yang membawa penumpang di Genting Highlands, faham-fahamlah di Genting Highlands ini laluannya sukar (laluan berselekoh berbahaya dan bergaung),” katanya.

Selain itu, Lokman berkata, sebanyak 77 depot dan 28 terminal bas turut diperiksa sepanjang operasi HRA dan hasil pemeriksaan mendapati tiga pemandu bas positif dadah dan JPJ mengambil tindakan segera dengan menggantung lesen mereka.

Katanya, sebanyak 27 kenderaan berat yang melanggar larangan berada di atas jalan raya semasa tempoh perayaan turut dikenakan tindakan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.