Haris Ibrahim, peguam heret kerajaan ke mahkamah berkait siasatan SPRM terhadap hakim Nazlan

Haris Ibrahim, peguam heret kerajaan ke mahkamah berkait siasatan SPRM terhadap hakim Nazlan

Tiga plaintif memohon mahkamah menentukan kepentingan isu Perlembagaan mengenai pengasingan kuasa dan kebebasan badan kehakiman.

Plaintif memfailkan saman pemula di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, tengah hari tadi.
KUALA LUMPUR:
Dua peguam dan seorang aktivis memfailkan saman bagi menentukan kepentingan isu Perlembagaan berhubung pengasingan kuasa dan kebebasan badan kehakiman.

Tindakan itu dilakukan susulan siasatan dilakukan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap Hakim Mahkamah Persekutuan Nazlan Mohd Ghazali.

Plaintif Nur Ain Mustapa, Sreekant Pillai dan Haris Ibrahim memfailkan saman pemula di Mahkamah Tinggi, di sini, tengah hari tadi, dan menamakan Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki, SPRM dan kerajaan sebagai defendan.

Ketiga-tiga mereka memohon pengisytiharan seperti berikut:

– Badan siasatan jenayah, termasuk SPRM tidak berhak atau dihalang daripada melakukan siasatan terhadap hakim sedang berkhidmat di mahkamah atasan (Mahkamah Tinggi, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan) kecuali mereka digantung tugas seperti termaktub mengikut Perlembagaan Persekutuan;

– Pendakwa raya tidak diberi kuasa untuk memula atau menjalankan sebarang prosiding bagi kesalahan terhadap hakim sedang berkhidmat di mahkamah atasan.

Mereka juga memohon pengisytiharaan bahawa siasatan dilakukan SPRM terhadap Nazlan tidak berperlembagaan.

Dalam penyataan peguam cara mereka, Tetuan Malik Imtiaz Sarwar, ketiga-tiganya turut memfailkan permohonan untuk merujuk dua soalan Perlembagaan berhubung relif yang dipohon ke Mahkamah Persekutuan.

Plaintif mengambil pendirian siasatan dilakukan itu melanggar cabang eksekutif berhubung kebebasan badan kehakiman dan pengasingan kuasa.

“Perkara ini sangat penting kerana memberi kesan kepada semua orang di negara ini. Perlembagaan Persekutuan menjamin setiap seorang mendapat akses kepada keadilan ditadbir badan kehakiman yang bebas daripada segala bentuk campur tangan,” kata mereka.

Menurut Nur Ain, Sreekant dan Haris, Perlembagaan menjamin kesaksamaan mengikut lunas undang-undang dan undang-undang memberi perlindungan yang sama.

“Bukan pandangan kami bahawa hakim adalah kebal daripada siasatan jenayah atau pendakwaan.

“Seperti juga kita semua, mereka perlu dipertanggungjawabkan terhadap mana-mana jenayah yang mungkin dilakukan,” kata mereka.

Bagaimanapun, mereka percaya kuasa siasatan dan memulakan prosiding jenayah mesti diseimbangkan demi memastikan keyakinan orang awam kepada badan kehakiman.

Plaintif berkata, Perlembagaan memperuntukkan mekanisme bagi menjamin kebertanggungjawaban hakim menerusi kaedah yang tidak merendahkan keyakinan orang awam.

“Kami percaya kuasa siasatan SPRM mesti dibaca sebagai subjek dalam mekanisme Perlembagaan.”

Plaintif berkata, Putrajaya dan peguam negara kekal berdiam diri berhubung tindakan dibuat SPRM bahawa agensi itu berhak membuat siasatan terhadap Nazlan.

“Kelihatan, mereka bersetuju dengan pandangan SPRM.

“Badan kehakiman dibiarkan tanpa sebarang tindakan, kerana tidak berada pada kedudukan untuk turun ke arena dan mendapat pengisytiharan atas kehendaknya sendiri,” katanya.

Minggu lalu, SPRM menolak kritikan berhubung siasatan terhadap Nazlan, sambil mempertahankan kuasanya menyiasat mana-mana pegawai awam, termasuk hakim.

Dua minggu lalu, Nazlan membuat laporan polis mengenai laporan diterbitkan blogger Raja Petra Kamaruddin, yang mendakwa hakim itu disiasat berhubung wang yang tidak dapat dijelaskan dalam akaun banknya.

Nazlan adalah hakim yang menyabitkan kesalahan dan menjatuhkan hukuman terhadap bekas perdana menteri Najib Razak, berhubung dana RM42 juta milik SRC International, pada 28 Jul 2020.

Disember lalu, Mahkamah Rayuan mengekalkan keputusan sabitan terhadap Najib. Rayuan terhadap sabitannya sedang berlangsung di Mahkamah Persekutuan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.