Awas, jangan beli durian melalui aplikasi D4 Durian

Awas, jangan beli durian melalui aplikasi D4 Durian

Polis berkata, kes penipuan pembelian durian dalam talian mula meningkat di daerah terbabit menjelang musim raja buah itu.

Tangkap layar laman Facebook dan aplikasi D4 Durian yang memaparkan iklan jualan durian pada harga murah. (Gambar PDRM)
PETALING JAYA:
Polis meminta orang ramai berhati-hati supaya tidak terpedaya dengan urusan jual beli durian menerusi aplikasi D4 Durian.

Polis Daerah Timur Laut berkata, kes penipuan pembelian durian dalam talian mula meningkat di daerah terbabit menjelang musim raja buah itu.

Katanya, mangsa biasanya tertarik dengan iklan jualan durian pada harga murah dalam Facebook, Instagram dan platform media sosial lain.

Menurutnya, suspek akan berurusan terus dengan mangsa melalui WhatsApp, sebelum mereka diarahkan klik pautan yang diberikan dan memuat turun aplikasi ‘D4 Durian’ bagi membuat bayaran.

“Apabila mangsa klik pada pautan itu, akan muncul halaman yang menyerupai ‘FPX Transaction’,” katanya menurut laporan Harian Metro.

“Sebaik mangsa memasukkan nama dan kata laluan, sistem pembayaran itu akan tergendala.

“Mangsa kemudian akan menerima mesej daripada pihak bank memberitahu terdapat pemindahan wang dari akaun pengadu ke akaun pihak ketiga dengan jumlah lebih tinggi daripada harga pembelian berkenaan.”

Justeru orang ramai diingatkan supaya jangan sesekali memuat turun apa-apa aplikasi yang tidak dikenal pasti ketulenannya.

“Jangan dedahkan nama dan kata laluan atau maklumat perbankan kepada pihak ketiga, selain berhati-hati dengan urusan pembelian dalam talian.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.