Tarikan mata wang Singapura ‘sukar’ ditolak rakyat Malaysia

Tarikan mata wang Singapura ‘sukar’ ditolak rakyat Malaysia

Baru-baru ini, ahli DAP Liew Chin Tong, berkata perniagaan tempatan perlu menawarkan gaji sekurang-kurangnya dua pertiga daripada apa yang diberikan majikan di Singapura kepada pekerja negara ini.

Kira-kira 400,000 rakyat Malaysia bekerja di Singapura dengan kebanyakan mereka berulang alik saban hari. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Prospek gaji yang lebih lumayan di Singapura menyebabkan Farrah Diyana Mohamad Ali tekad berpindah ke negara itu untuk bekerja.

Selepas 10 tahun, eksekutif pembangunan perniagaan itu tidak berhasrat kembali ke tanah air, lebih-lebih lagi apabila mata wang Singapura terus kukuh.

Ia adalah satu-satunya punca mengapa wanita berkenaan tidak bercadang pulang ke Malaysia walaupun suami bersama dua anaknya masih berada di negara ini.

“Singapura adalah tempat saya mendapatkan mata pencarian dan memberi peluang untuk mengembangkan kerjaya,” katanya kepada FMT, sambil menyatakan pertukaran mata wang menjadi faktor penting untuk membantu keluarganya di Malaysia menempuh detik sukar ketika pandemik melanda.

Menurutnya, walaupun diberi dua pertiga jumlah gaji daripada pendapatan sekarang, namun dia tidak akan kembali ke Malaysia kerana nilai berkenaan belum mencukupi menampung keluarganya.

Baru-baru ini, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada DAP, Liew Chin Tong, berkata perniagaan di Johor perlu membayar sekurang-kurangnya dua pertiga daripada apa yang ditawarkan majikan di Singapura, demi memastikan pekerja negara ini kekal.

ADUN Perling itu, berkata gaji yang rendah di Johor, termasuk di sebahagian lagi kawasan di Malaysia menjadi alasan kepada mereka memilih untuk bekerja di Singapura.

Menurut laporan, dianggarkan 400,000 rakyat Malaysia bekerja di Singapura, dan kebanyakan berulang alik saban hari antara Johor Bahru ke negara republik itu.

Seorang lagi rakyat Malaysia berpangkalan di Singapura yang ingin dikenali sebagai Ikhwan berkata, dia sedia kembali ke Malaysia sekiranya mendapat bayaran gaji dua pertiga, berbanding apa yang diterima ketika ini.

Doktor berusia 36 tahun yang berasal dari Kuala Lumpur itu berpindah ke Singapura sejak 10 tahun lalu selepas mengambil kira nilai matawang dan keseimbangan kehidupan serta kerja yang lebih baik.

“Namun, sekiranya saya mendapat gaji hampir dengan apa yang diterima kini, saya gembira untuk kembali berpindah. Sewa lebih murah dan kadar kehidupan dan makanan juga lebih baik juga. Ke mana sahaja kita pergi, tidak ada tempat seperti negara sendiri,” katanya.

Manakala seorang lagi rakyat Malaysia yang ingin dikenali sebagai Devan, 35, berkata, sejak bekerja di Singapura pada 2015, dia teringin kembali ke tanah air sekiranya berjaya mendapatkan jumlah gaji hampir serupa dengan sekarang.

“Bekerja di Singapura memberi pendedahan lebih baik susulan negara itu menjadi hub serantau dengan menjadikan pekerjaan dilakukan lebih menarik,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.