2 lagi suspek kes tembak dalam bilik hotel diburu

2 lagi suspek kes tembak dalam bilik hotel diburu

Kedua-dua suspek berusia 40an dan 50an telah dikenalpasti dan usaha mengesan giat dijalankan.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Noor Dellhan Yahaya berkata, seorang suspek ditahan pada hari kejadian dan telah direman enam hari sehingga Isnin depan.
PETALING JAYA:
Polis memburu dua lagi suspek yang disyaki terbabit dalam kejadian tembak mati seorang lelaki di sebuah hotel di Bukit Bintang di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Noor Dellhan Yahaya berkata, suspek warga tempatan masing-masing berusia 40an dan 50an.

Menurutnya, polis sudah mengenalpasti identiti kedua-dua suspek susulan penahanan seorang suspek yang juga rakan mangsa.

“Lelaki tempatan berusia 40-an itu sudah direman enam hari bermula hari ini sehingga Isnin depan.

“Usaha mengesan dua lagi suspek sedang giat dijalankan,” katanya menurut laporan Harian Metro.

Media malam tadi melaporkan, mayat lelaki berusia 49 tahun ditemukan dalam sebuah bilik di hotel dengan kesan kecederaan dipercayai ditembak di bahagian dahi, 7 malam.

Siasatan awal polis mendapati mangsa mendaftar masuk ke hotel berkenaan jam 6 petang semalam bersama seorang rakan lelakinya.

Mereka dikatakan dari Johor, namun tujuan mangsa dan rakannya itu datang ke Kuala Lumpur masih dalam siasatan polis.

Sementara itu, Noor Dellhan berkata, polis sedang menjalankan siasatan lanjut termasuk mengenalpasti motif pembunuhan.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian supaya tampil membantu siasatan dengan menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi di talian 03-26002222 atau mana-mana balai polis berhampiran.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.