Tak dapat pulang beraya, pekerja asing rindui keluarga

Tak dapat pulang beraya, pekerja asing rindui keluarga

Ramai antara mereka sudah beberapa tahun tidak dapat beraya bersama keluarga di kampung.

Ramai pekerja asing yang tidak dapat pulang ke kampung meluangkan masa bersama rakan-rakan di kota seperti di KLCC, Kuala Lumpur, sempena Hari Raya. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Dapat meraikan bersama keluarga adalah nikmat berhari raya, namun ramai pekerja asing hanya mampu membuat panggilan telefon kepada insan tersayang buat masa ini.

Rimon Hossain, 21, dari Jhenaidah, Bangladesh, sudah empat tahun bekerja di Malaysia dan merindui keluarganya.

“Sangat sukar berjauhan dengan keluarga dan saya akan pastikan saya dapat buat panggilan video kepada mereka setiap hari.

“Saya perlu bercakap dengan mereka sepanjang masa supaya saya tak terlalu rindukan kampung halaman,” katanya sambil menambah, beliau menelefon ibu bapanya pada Hari Raya pertama.

Rimon Hossain menelefon keluarganya di Bangladesh setiap hari.

Bagaimanapun, Rimon tidak sabar untuk pulang ke tanah airnya dua bulan lagi apabila beliau dapat bercuti.

“Saya teruja untuk rasa masakan ibu saya lagi dan saya dah mintanya sediakan banyak makanan apabila saya pulang,” katanya.

Mohd Riyad dari Comilla, Bangladesh, akui sangat sukar berjauhan dengan keluarga, terutama ketika perayaan.

“Saya agak sedih kerana dah empat tahun saya tak pulang. Keluarga saya minta saya pulang dalam tempoh lebih kurang setahun, tetapi saya tak pasti jika saya dapat (pulang),” katanya.

Mohd Riyad dari Comilla, Bangladesh, sudah empat tahun berjauhan dengan keluarga.

Riyad menyambut Aidilfitri tahun ini bersama rakan-rakan senegaranya, yang juga tidak dapat pulang, dan memasak makanan kegemaran mereka.

“Saya tak sabar nak pulang supaya saya dapat beraya dengan keluarga saya lagi,” katanya.

Atar dari Lombok, Indonesia yang bekerja sebagai pekerja pembersihan di Hospital Kuala Lumpur sudah enam tahun tidak pulang ke kampung.

Atar merindui ibu yang berusia 75 tahun.

“Saya nak pulang, tetapi disebabkan Covid-19, agak sukar,” katanya Atar yang merindui keluarganya, terutama ibu yang berusia 75 tahun.

“Selama enam tahun, saya tak berpeluang untuk sambut dengan keluarga saya. Saya nak jumpa ibu dan abang saya, minta maaf dengan mereka.

“Saya akan sangat gembira jika dapat pulang. Harap-harap tahun depan, saya dapat pulang bercuti dengan isteri saya.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.