
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Kuala Lumpur Mohd Mahidisham Ishak berkata, wanita yang bekerja di syarikat swasta itu menerima panggilan pada 18 April daripada seorang lelaki yang menyamar sebagai pegawai Kementerian Kesihatan (KKM) bertugas di Bahagian Pemeriksaan Bekalan Ubatan.
“Mangsa diminta untuk mengesahkan sama ada pernah mengambil ubat-ubatan seperti panadol, ubat tahan sakit, ubat batuk dan ubat selesema secara berlebihan di sebuah klinik komuniti.
“Mangsa menafikan dakwaan itu namun panggilan kemudiannya disambungkan kepada seorang lelaki lain menyamar sebagai pegawai polis dan memaklumkan mangsa juga mempunyai rekod terlibat dengan jenayah pengubahan wang haram,” katanya dalam kenyataan.
Mahidisham berkata, mangsa berusia 47 tahun itu juga ditakut-takutkan dengan amaran waran tangkap akan dikeluarkan jika beliau tidak mengakui kesalahan tersebut.
Panik dengan ugutan itu, mangsa membuat pindahan wang sebanyak lima kali ke dalam akaun yang sama bermula 22 hingga 26 April, berjumlah keseluruhan RM132,900.
Mahidisham berkata, suspek juga meminta mangsa menunggu keputusan siasatan tersebut dan pada 30 April, mangsa menerima panggilan telefon dan diminta untuk membuat bayaran tambahan.
“Merasakan dirinya tertipu, mangsa membuat laporan polis pada hari yang sama dan suspek kini sedang dikesan,” katanya.
Kes disiasat bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.
Mahidisham menasihatkan orang ramai supaya menyemak akaun bank atau nombor telefon diragui melalui laman sesawang .
Untuk laporan sebarang jenayah ataupun aktiviti mencurigakan, orang ramai diminta menghubungi talian penting Polis Kuala Lumpur di 03-2146 0584 / 0585 atau balai polis berdekatan.