Petugas barisan hadapan rindu kampung, lemang

Petugas barisan hadapan rindu kampung, lemang

Ketika ramai yang meraikan Hari Raya di kampung halaman, ada yang terpaksa menyambut ketibaan Syawal di tempat kerja.

Mohd Syahmi Nawi, yang bertugas di IPD Cheras, rindu juadah raya di Kelantan.
PETALING JAYA:
Ketika Hari Raya disambut dengan meriah di rumah seluruh negara, ramai petugas barisan hadapan terpaksa beraya di tempat kerja.

Antaranya ialah anggota polis dan bomba, yang bersiap siaga untuk menghadapi sebarang kecemasan.

Seorang koperal polis yang dikenali sebagai Safura antara petugas barisan hadapan itu. Tetapi, beliau tidak berasa tersisih.

Setiap tahun, katanya, ketua polis di balai polis Sungai Besi akan mengadakan majlis untuk meraikan ketibaan 1 Syawal di balai itu.

“Walaupun tidak dapat bercuti, kami boleh merasai suasana beraya kerana kami bersama ketua balai dan pegawai seperti keluarga di sini.”

Keadaan sama juga berlaku di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras, tetapi Mohd Syahmi Nawi masih rindu juadah raya di kampung halamannya, Kelantan, termasuk sate, nasi impit dan rendang.

Hisyamuddin Mesnu tidak dapat pulang beraya di Batu Pahat, Johor tahun ini.

Anggota bomba, Faisal Abdul Aziz, 40, berkata mereka akan bercuti pada bulan puasa “jika boleh”, di mana mereka dapat pulang ke kampung halaman untuk melawat keluarga dan sanak saudara sebelum Hari Raya.

Rakan sekerja Faisal, Hisyamuddin Mesnu yang tidak dapat pulang tahun ini, meraikan perayaan itu bersama isteri dan rakannya.

“Saya rindu beraya dengan keluarga dan suasana beraya di kampung saya (Batu Pahat),” katanya.

Walaupun masih berharap dapat pulang ke kampung seperti dirancang, tetapi Hisyamuddin mengakui bukan semua perancangannya akan berhasil.

“Kita hanya perlu berharap dan lihat keadaannya.”

Nabila Hushna Radzuan.

Kakitangan sektor peruncitan juga tidak dapat meraikan 1 Syawal dengan keluarga, tetapi mereka akan berbaju raya bagi menandakan berakhirnya Ramadan.

Nabila Hushna Radzuan, 24, yang bekerja di sebuah cawangan Pizza Hut berkata: “Saya tentunya rindu suasana beraya di kampung, dengan ramai saudara mara di sekeliling.”

Pekerja Watsons, Nurul Farahanim Imran, 21, bersyukur keluarganya tinggal di Kuala Lumpur kerana beliau masih boleh beraya dengan mereka selepas bekerja.

Tetapi, keadaan sebaliknya bagi rakan sekerja Farahanim, Nur Natasha Shahira Mohd Nazri, 22, yang berasal dari Sabah kerana ia memerlukan banyak perancangan untuk pulang ke kampung halamannya.

“Saya tak dapat cuti tahun ini,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.