Atlet karate Yilamaran raih perak di Deaflympic

Atlet karate Yilamaran raih perak di Deaflympic

Atlet berusia 22 tahun itu tewas kepada Makhno Oleksanr dari Ukraine pada aksi peringkat akhir acara kumite lelaki bawah 84kg.

V Yilamaran berjaya mengatasi pesaing tuan rumah Sergio Garcia, Avi Bokler dari Israel, dan Abdolghafour Ebhahim dari Iran dalam laluan ke peringkat akhir melawan Makhno Oleksanr. (Gambar Facebook MSDeaf)
KUALA LUMPUR:
Atlet karate pekak V Yilamaran berjaya meraih pingat pertama bagi negara pada temasya Sukan Deaflympic ke-24 di Caxias do Sul, Brazil, semalam (awal pagi Selasa waktu Malaysia).

Atlet berusia 22 tahun itu berjaya merangkul pingat perak menerusi acara kumite lelaki bawah 84kg selepas tumpas kepada Makhno Oleksanr dari Ukraine pada aksi peringkat akhir.

Menurut Persatuan Sukan Orang Pekak Malaysia, Yilamaran berjaya mengatasi pesaing tuan rumah Sergio Garcia pada pusingan pertama, diikuti Avi Bokler dari Israel (suku akhir) dan Abdolghafour Ebhahim dari Iran (separuh akhir) dalam laluan ke peringkat akhir pada saingan yang disertai oleh wakil daripada 10 negara.

Ketua Kontinjen Negara Ong Shin Ruenn yang hadir menyaksikan perlawanan akhir itu berkata, beliau amat berbangga dengan pencapaian Yilamaran memandangkan ia adalah penyertaan sulung atlet berkenaan di Sukan Deaflympic.

“Dengan kenangan bersejarah pada hari pertama, kontinjen sukan pekak negara berpeluang menambah lagi jumlah kutipan pingat menerusi sukan lain, iaitu badminton, basikal dan olahraga,” katanya di Facebook.

November tahun lepas, Yilamaran berjaya membawa pulang pingat gangsa pertama Malaysia pada Kejohanan Karate Pekak Dunia 2021 yang berlangsung di Tehran, Iran.

Mengikut laman sesawang rasmi Deaflympic, seramai 1,956 atlet dari 70 negara menyertai temasya kali ini yang bermula dari 1 hingga 15 Mei.

Sementara itu, Menteri Belia dan Sukan Ahmad Faizal Azumu menerusi catatan di Facebook mengucapkan tahniah dan syabas atas kejayaan Yilamaran.

“Syabas atlet karate pekak negara, Yilamaran menjadi wira negara! Saya amat berbangga dengan pencapaiannya kerana ini adalah penyertaan sulung atlet karate tersebut di Sukan Deaflympic dan berjaya meraih pingat perak,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.