
Detik hitam Nurul, 18, bermula apabila dia mendapat tahu dia mengandung, hasil hubungan intim dengan seorang lelaki yang dikenalinya sejak kecil dari kawasan kejiranan.
Belum sempat menghalalkan hubungan percintaan mereka, dia termakan kata-kata manis lelaki itu.
“Bila dah lama-lama ni, macam-macam boleh jadi. Pujuk-memujuk dengan kata-kata manis dan kemudian terjebak ke arah zina,” katanya ketika ditemui FMT di Pondok Hijrah Muslimah Malaysia, Taman Permata.
Tewas dengan nafsu sehingga melakukan zina, dia kini hamil dua bulan dan berlindung di pusat perlindungan dan pemulihan akhlak remaja wanita atas saranan ahli keluarga.
Menyesali perbuatannya, anak bongsu daripada empat beradik itu nekad berlindung di pusat perlindungan berkenaan bagi menjaga keluarga daripada cemuhan masyarakat, dan masa depan anak dalam kandungan.

“Bila dapat tahu keluarga nak hantar (ke pusat), mula-mula terfikir kenapa perlu mereka hantar ke sini, tapi saya sedar apa perbuatan saya. Kalau saya duduk dengan mereka, mereka akan malu dengan keadaan saya yang hamil tanpa suami.
“Jadi saya rela hati dan terima saja dan saya pun fikir nak tutup malu mereka,” katanya.
Pendekatan kerohanian
Pondok Hijrah Muslimah Malaysia yang ditubuhkan dua tahun lalu menggunakan pendekatan kerohanian, pengajian agama, dan rawatan alternatif yang menggunakan produk diperbuat daripada bahan semula jadi.
“Modul yang kita gunakan adalah rawatan berasaskan al-Quran dan Sunnah. Bermula dengan solat taubat, mandi taubat, dan kita campur dengan rawatan alternatif.

“Kemudian, kita akan didik satu-satu. Memang semuanya kita gunakan (bahan rawatan) semula jadi seperti air kelapa, sirih, dan bidara,” kata pengasasnya, Wan Asshima Kamaruddin.
Beliau berkata, pusat perlindungan itu pada mulanya dihuni seramai empat orang dan sehingga kini sudah membantu lebih 30 remaja wanita.
Katanya, sebuah pusat perlindungan bawah pertubuhannya yang lebih luas dan lengkap dengan pelbagai fasiliti akan dibina di satu lokasi di Rawang. Ia bertujuan menempatkan lebih ramai remaja yang perlu dibantu.
Di sebalik keredaan anak bongsu itu yang kali pertama menyambut Aidilfitri di pusat perlindungan berkenaan, Nurul hanya mampu menahan sebak dan menantikan kedatangan ahli keluarga menziarahinya.
Remaja itu sentiasa berpegang kepada nasihat keluarganya dalam usaha melupakan kesilapan lalu dan bertekad untuk berhijrah menjadi individu lebih baik.
Nurul bersyukur kerana keluarga masih menerimanya seadanya dan akur keputusan menghantarnya ke pusat perlindungan itu sehingga dia melahirkan anak.