
Ismail berkata, kawalan kendiri tetap perlu diamalkan dalam suasana penuh kemeriahan dan kegembiraan ketika umat Islam menyambut Hari Raya Aidilfitri bagi memastikan kesihatan diri sendiri serta masyarakat sekeliling sentiasa dalam keadaan baik.
“Di dalam bangunan masih lagi diwajibkan memakai pelitup muka, tetapi di luar bangunan, di kawasan terbuka seperti ini (masjid) tidak lagi memakai pelitup muka,” katanya.
Beliau turut berpuas hati dengan sikap berhati-hati dan amalan kendiri oleh orang ramai.
“Saya lihat sewaktu saya datang tadi, ramai yang berjalan kaki ke masjid ini masih lagi memakai pelitup muka. Bermakna rakyat masih lagi berhati-hati. Menjaga dan mengawal kendiri untuk kesihatan diri, anak dan keluarga masing-masing.
“Walaupun diberi kebebasan, kita tidak terlalu terbuka, bebas dan masih lagi berhati-hati, alhamdulillah,” katanya ketika ditemui sebelum meninggalkan Masjid Wilayah Persekutuan selepas menunaikan solat sunat Aidilfitri.
Pada 27 April, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin mengumumkan beberapa kelonggaran langkah kawalan dan pencegahan Covid-19 berkuat kuasa 1 Mei.
Antaranya, pemakaian pelitup muka di luar bangunan akan menjadi pilihan, bukan lagi satu kewajipan, selain juga tidak wajib untuk mengimbas aplikasi MySejahtera sebelum memasuki premis.
Kelonggaran diberikan ini adalah selaras dengan Fasa Peralihan Ke Endemik negara.
Sementara itu, Ismail dalam satu catatan Facebook berkata, beliau bersyukur dan gembira apabila masjid-masjid di seluruh negara pada pagi ini dipenuhi jemaah menunaikan solat sunat Aidilfitri bersama ahli keluarga dan sahabat handai setelah dua tahun tidak dapat melaksanakannya disebabkan Covid-19.
Beliau turut menasihatkan mereka yang dalam perjalanan pulang ke kampung supaya memandu dengan cermat.