(VIDEO) ‘Saya nantikan keadilan, harap pelaku datang mohon maaf’, kata mangsa samun hilang tangan

(VIDEO) ‘Saya nantikan keadilan, harap pelaku datang mohon maaf’, kata mangsa samun hilang tangan

Siti Nur Azizah Syafri Adi cacat seumur hidup selepas cedera parah dalam kejadian samun.

Siti Nur Azizah Syafri Adi yang cacat seumur hidup selepas cedera parah dalam kejadian samun mahukan keadilan.
KUALA LUMPUR:
Dilahirkan dalam keadaan sempurna tubuh badan, Siti Nur Azizah Syafri Adi, 17, tidak menyangka detik hitam yang dialami 26 Ogos tahun lalu mengubah segalanya.

Kisah Azizah sebelum ini pernah menjadi perhatian ramai, apabila dia hilang tangan kanan selepas menjadi mangsa samun motosikal di Jalan Kuching, ketika dalam perjalanan pulang dari menghantar barang kepada pelanggan.

Selepas hampir sembilan bulan insiden itu berlalu, Azizah dilihat tabah menjalani dugaan. Namun jauh di sudut hati, dia sangat menantikan keadilan buat dirinya dan setidak-tidaknya terzahir ‘ucapan maaf’ dari pelaku yang mengakibatkan dirinya cacat seumur hidup.

“Nak menangis pun tiada guna sebab tak boleh dapat balik apa yang dah hilang itu, jadi nak tak nak kena terimalah, perit macam mana pun kena terima.

“Tidak minta banyak pun, cuma nak tahu, nak tanya, apa salah saya? Apa salah saya mereka buat macam ni, kalau betul mereka salah, saya tak marah cuma nak tanya kenapa, kalau boleh minta maaf secara terbuka, saya pun nak hak keadilan,” katanya ketika ditemui FMT.

Azizah masih lagi mencuba menyesuaikan diri dengan keadaannya sekarang.

Azizah mengalami kecederaan parah pada bahu kanan selepas terjatuh apabila motornya ditendang penyamun. Tangannya terpaksa dipotong kerana saluran darah terputus.

Ibu Azizah, Roslinawati Ya, 39, turut berharap agar pihak berkuasa tidak menutup kes anaknya, malah dia bersama ahli keluarga yang lain masih berusaha mendapatkan maklumat untuk mengenal pasti pelaku.

“Kalau untuk keadilan anak saya, saya memang berharaplah polis tak tutup kes ini macam ini sahaja. Setidaknya ada sedikit keadilan untuk dia, bagi benda ini tak jadi pada orang lain juga,” kata ibu tunggal kepada lima orang cahaya mata itu.

‘Susah nak buat, tapi kena tunjuk kita boleh’

Azizah yang menerima tajaan tangan palsu daripada Universiti Teknologi Mara, Universiti Teknologi Malaysia, dan syarikat percetakan 3D, 3D Gen Sdn Bhd, berkata dia masih lagi mencuba menyesuaikan diri dengan keadaannya sekarang, walaupun pada awalnya perlu banyak bergantung kepada keluarga.

Azizah menerima tajaan tangan palsu daripada UiTM, UTM, dan syarikat 3D Gen.

“Awal-awal itu susah lah nak buat itu ini dengan keadaan tangan patah lagi…nak mandi, makan pun…ketika itu bergantung dengan keluarga, adik-adik…tak pun mak yang uruskan.

“Lepas itu sikit-sikit tunjuk walaupun benda itu susah nak buat, tapi kena tunjuk kita boleh buat. Walaupun macam kekok…belajar juga buat,” ujarnya.

Selaku anak sulung daripada lima beradik dan selepas kematian bapa pada 2018, Azizah menjadi tulang belakang membantu ibunya menambah pendapatan.

Namun dengan keadaan dirinya hilang sebelah tangan yang menyukarkannya bekerja, Azizah kini giat membantu ibunya membuat jualan dalam talian.

“Tipulah kalau tiada rasa nak bekerja macam orang lain, tetapi sekarang hanya bergantung perniagaan online, sebab tak semua orang boleh terima, nak kerja itu susahlah sekarang,” luah Azizah.

Azizah yang mengimpikan perniagaan sendiri kini giat membantu ibunya membuat jualan dalam talian.

Roslinawati sentiasa memberi sokongan dan dorongan terhadap minat Azizah dalam bidang perniagaan, serta berharap anaknya berjaya mencapai impiannya.

“Dia pernah cakap, ‘kan bagus kalau kakak ada kedai’. Kena cuba sendiri kalau kata ‘nak’.

“(Saya) kata dekat dia… kena kerja keras lebihlah, kalau betul-betul dah pilih untuk kerja sendiri, berniaga kena fokus betul-betul. Jangan main sekejap nak buat sekejap tak nak buat.

“Jangan putus asa meniaga. Memang kejap ada orang beli, kejap tiada orang beli,” katanya, yang turut tidak putus berdoa semoga anaknya diberikan kekuatan dan mendapat keadilan yang sewajarnya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.