
Bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad berkata, Ramadan dan Syawal kali ini ini disambut hampir seperti biasa dengan orang ramai boleh menunaikan ibadah serta dapat mengunjungi keluarga ketika Aidilfitri.
“Hari raya kali ini, kita dapat bersama ibu bapa dan sanak saudara tercinta, bersalam-salaman dan bermaaf-maafan. Kita dapat solat jemaah Hari Raya, berkunjung ke rumah sanak-saudara dan jiran tetangga, yang dahulunya ‘dalam talian’, kini sudah di depan mata,” kata pengerusi Pejuang itu dalam hantaran video di Facebook hari ini.
Sementara itu, Presiden PKR Anwar Ibrahim berharap rakyat dapat memanfaatkan waktu perayaan bersama keluarga, terutamanya bagi mereka masih mempunyai ibu dan bapa.
“Sambutan hari raya kali ini agak cemerlang kalau kita bandingkan dengan dua tahun sengsara tidak bersama dengan keluarga,” katanya menerusi catatan di Facebook.
“Jadi, manfaatkanlah waktu ini bersama keluarga, terutamanya yang ada ibu bapa bagi mencurahkan kasih sayang dan kemudian silaturahim dengan sahabat andai,” katanya.
Presiden Amanah Mohamad Sabu pula menasihatkan rakyat supaya bersederhana dan menjaga keselamatan diri ketika musim perayaan.
Sementara itu, Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi menyatakan penghargaan kepada anggota keselamatan yang bertugas sepanjang Aidilfitri.
“Di samping kita merayakan Hari Raya bersama keluarga, marilah kita berdoa semoga pegawai dan anggota bertugas di Aidilfitri ini sentiasa sihat dan selamat menjalankan tugas yang diamanahkan demi negara,” katanya menerusi Facebook.