
Ini termasuk bagi pengembara berusia 18 tahun dan ke atas yang lengkap vaksinasi dan yang berusia 17 tahun dan ke bawah tanpa mengira status vaksinasi, katanya dalam kenyataan.
Selain itu, katanya, pengembara mempunyai sejarah jangkitan Covid-19 dalam tempoh enam ke 60 hari dari tarikh sembuh sebelum berlepas ke Malaysia tanpa mengira status vaksinasi juga terkecuali.
Bagi pengembara berusia 18 tahun dan ke atas tanpa vaksinasi lengkap, Khairy berkata, mereka perlu melakukan ujian dua hari sebelum berlepas ke Malaysia menggunakan RT-PCR atau RTK antigen profesional.
Menurutnya, pengembara dalam kategori tersebut juga harus menjalani ujian Covid-19 dalam tempoh 24 jam selepas ketibaan menggunakan RTK antigen dengan penyeliaan pengamal perubatan swasta yang berdaftar dengan Majlis Perubatan Malaysia (MMC) sama ada secara fizikal atau maya.
“Sekiranya keputusan pengujian Covid-19 adalah negatif, pengembara perlu menjalani kuarantin wajib selama lima hari di tempat penginapan termasuk rumah, menjalani RT-PCR pada hari keempat atau RTK antigen dengan penyeliaan pengamal perubatan swasta yang berdaftar dengan MMC sama ada secara fizikal atau maya pada hari kelima.
“Pelepasan kuarantin pada hari kelima boleh diberikan jika keputusan ujian RT-PCR hari keempat atau RTK antigen hari kelima adalah negatif. Sekiranya keputusan ujian adalah positif, pengembara akan diurus mengikut pengurusan kes positif sedia ada,” katanya.
Sementara itu, katanya, pengembara yang dikesan bergejala semasa berada di pintu masuk antarabangsa (PMA) negara akan diarahkan menjalani ujian Covid-19 menggunakan RTK antigen dengan penyeliaan pengamal perubatan sama ada secara fizikal atau maya.
Pada masa sama, katanya, semua pengembara masih perlu mengemukakan kad pengembara yang dipaparkan dalam aplikasi MySejahtera semasa ketibaan di PMA.