Padah merempit dan lumba haram, 92 belia ditahan di Ipoh

Padah merempit dan lumba haram, 92 belia ditahan di Ipoh

Seramai 89 lelaki dan tiga perempuan berusia antara 15 hingga 26 tahun ditahan menerusi Op Selamat, menurut Ketua Polis Ipoh Yahaya Hasan.

Polis menjalankan Op Selamat bagi mengurangkan kegiatan samseng jalanan, termasuk membabitkan ‘mat rempit’. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Polis menahan 92 belia berusia antara 15 hingga 26 tahun kerana terbabit dengan kegiatan lumba haram di sekitar Ipoh awal pagi tadi.

Seramai 89 lelaki dan tiga perempuan ditahan menerusi Op Selamat yang dijalankan di beberapa lokasi panas “mat rempit” bermula 1 pagi sekitar Station 18 di Pasir Puteh, lapor Bernama.

Ketua Polis Ipoh Yahaya Hasan berkata, pihaknya menjalankan operasi itu hasil aduan dan maklumat orang awam berkaitan kegiatan berlumba motosikal dan menunggang secara berbahaya.

“Kami menjalankan operasi bagi mengurangkan kegiatan samseng jalanan membabitkan kumpulan bermotosikal yang sering mendatangkan kegusaran kepada masyarakat setempat.

“Polis turut menyita 14 motosikal atas pelbagai kesalahan, antaranya pengubahsuaian kenderaan dan pemalsuan nombor pendaftaran kenderaan,” katanya pada sidang media hari ini.

Selain itu, katanya, tujuh individu ditahan bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 atas kesalahan memandu dalam keadaan berbahaya.

Dua orang turut dikesan positif dadah menerusi ujian air kencing oleh pihak Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dan akan disiasat bawah Seksyen 3(1) Akta Dadah Berbahaya 1952, tambahnya.

Beliau berkata, sebanyak 241 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan seperti tiada lesen memandu dan melanggar lampu isyarat, melibatkan pelajar sekolah dan penuntut institusi pengajian tinggi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.