
Pengarah eksekutif North-South Initiative Adrian Pereira memberitahu FMT, menghebahkan identiti mereka hanya akan membahayakan nyawa tahanan Rohingya itu, yang cuba melarikan diri daripada keadaan hidup yang menyedihkan.
Rancangan polis itu hanya akan menggalakkan sikap berwaspada dalam kalangan orang ramai dan membahayakan pelarian serta keluarga mereka, katanya.
Laporan yang diterima oleh kumpulannya menunjukkan bahawa masyarakat Rohingya rata-ratanya dimusuhi rakyat Malaysia.
Mendedahkan nama dan gambar pelarian Rohingya akan menggambarkan mereka seperti penjenayah.
“Anda hanya akan mendedahkan identiti penjenayah yang sangat berbahaya, individu dikehendaki atau mereka yang memberi risiko kepada orang ramai.
“Pelarian-pelarian ini bukan individu sedemikian,” katanya.
Ketua Polis Kedah Wan Hassan Wan Ahmad baru-baru ini berkata, polis sedang menyediakan nama dan gambar 61 tahanan terbabit untuk diedarkan kepada media. Lebih 500 tahanan merusuh sebelum melarikan diri dari depot di Bandar Baharu, Kedah minggu lepas.
Pengarah Eksekutif Tenaganita Glorene Das turut mempersoalkan rancangan polis itu.
“Tidakkah ada cara yang lebih baik untuk menangani keadaan ini selain memburu mereka?”
Beliau berkata, pihak berkuasa harus mencari penyelesaian yang lebih baik dalam perbincangan dengan agensi pelarian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu atau organisasi awam lain.