Tangguh tahan pemilik waran tangkap lepas raya, kata NGO

Tangguh tahan pemilik waran tangkap lepas raya, kata NGO

Semua umat Islam wajar diberi peluang pulang berhari raya dan operasi mengesan pemilik waran tangkap dalam Op Selamat akan menyebabkan kesesakan lebih teruk.

Kelmarin Timbalan Ketua Polis Negara, Razarudin Husain berkata, pihaknya akan menahan pengguna jalan raya yang dikesan memiliki waran tangkap lampau sepanjang Op Selamat bermula 29 April hingga 8 Mei depan. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Kerajaan perlu bertolak ansur terhadap semua pengguna jalan raya yang ingin menyambut Aidilfitri di kampung, termasuk individu yang memiliki waran tangkap terutamanya selepas dua tahun tidak dapat pulang akibat pandemik Covid-19.

Pemangku Presiden Belia 4B, Fahami Ashrof Badaruddin berkata, semua umat Islam wajar diberi peluang pulang berhari raya dan tindakan terhadap pesalah trafik yang memiliki waran tangkap ketika Op Selamat dilihat sebagai diskriminasi kepada mereka.

“Berilah peluang umat Islam berhari raya dahulu, takkan tiada hari lain nak laksanakan (waran tangkap). Tidak adil kepada rakyat kerana menidakkan sambutan Hari Raya dengan operasi sebegini,” katanya.

Kelmarin Timbalan Ketua Polis Negara, Razarudin Husain berkata, pihaknya akan menahan pengguna jalan raya yang dikesan memiliki waran tangkap lampau sepanjang Op Selamat bermula 29 April hingga 8 Mei depan.

Katanya, sepanjang tempoh 10 hari Op Selamat itu juga, individu memiliki waran tangkap akan dibawa ke balai polis berhampiran, manakala yang memiliki saman tertunggak pula akan diminta menjelaskan saman mereka.

Fahami berkata, penahanan individu yang memiliki waran tangkap akan menyebabkan kesesakan teruk di sepanjang laluan sekatan, sekali gus memberi tekanan emosi kepada semua pengguna jalan raya yang mahu pulang ke kampung.

“Polis pasti akan melakukan pemeriksaan habis-habisan untuk mengesan mereka yang mempunyai waran tangkap. Ia akan menyebabkan kereta berbaris panjang untuk melalui sekatan dan pengguna perlu menunggu lebih lama,” katanya.

Presiden Persatuan Pengguna Jalanraya Kebangsaan, Mohammad Hisham Shafie turut senada dengan mengatakan pihak berkuasa boleh memberikan notis kepada pesalah jalan raya ketika sekatan dengan memberi arahan hadir ke mahkamah selepas Hari Raya.

“Jika penahanan dibuat ketika itu juga, ia akan ganggu jadual perjalanan Hari Raya mereka. Bayangkan jika mereka ada anak kecil.

“Kalau boleh, polis dan kerajaan longgarkan syarat sebab sudah dua tahun orang tak balik raya. Berilah kami pulang beraya dulu,” katanya.

Katanya, penguatkuasaan bagi memburu pesalah trafik yang ingkar terhadap waran tangkap sepatutnya dilakukan secara berkala, bukan bermusim.

“Jika mereka mengesan pemandu yang mempunyai waran tangkap ketika sekatan jalan raya, tindakan boleh terus diambil supaya pemandu terbabit lebih bertanggungjawab dan menghormati undang-undang,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.