
Ketua Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam (Peka) Damien Thanam Divean berkata, dengan eksport industri perkayuan mencecah RM22 bilion hanya dua tahun lepas, insentif kerajaan mungkin tidak memberi kesan yang diingini.
Beliau berkata, adalah diragui sama ada negeri boleh menolak untuk meluluskan projek penambakan atau sama ada mereka akan mewartakan kawasan baharu sebagai rizab.
Pada Selasa, Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan telah meningkatkan insentif kepada negeri-negeri untuk memelihara kawasan hutan dan marin daripada RM70 juta kepada RM100 juta.
Beliau berkata, kerajaan akan membiayai negeri yang mewartakan kawasan perlindungan baharu daripada pembangunan bawah Pelan Pemindahan Fiskal Ekologi (EFT).
Ketua Persatuan Ekopelancongan & Konservasi Malaysia (Ecomy) Andrew Sebastian berkata, insentif itu harus merangkumi hutan tebus guna, iaitu kawasan-kawasan yang ditebus oleh negeri selepas dibuka untuk pembangunan.
Beliau berkata, secara idealnya, “paru-paru hijau” dan kawasan marin perlu diserap ke dalam sistem taman negeri yang akan memastikan ia dipelihara untuk generasi akan datang.
“Zon penampan kepada taman negara, kawasan tadahan air dan hutan bernilai pemuliharaan tinggi perlu diutamakan untuk dipelihara,” katanya.
Ketua Sahabat Alam Malaysia Meenakshi Raman berkata, mesti ada jaminan daripada negeri-negeri bahawa keputusan untuk mewartakan hutan simpan tidak akan dibatalkan pada masa akan datang.
Katanya, kawasan yang dijadual untuk diwartakan harus kaya dengan biokepelbagaian atau mempunyai keupayaan untuk menjana semula flora dan fauna serta kawasan regeneratif seperti pantai dibiarkan agar hutan bakau dapat hidup.
“Walaupun RM100 juta tidak cukup untuk dikongsi sesama negeri, Putrajaya harus mengakses dana antarabangsa untuk pemeliharaan alam semula jadi,” katanya.
“Kerajaan juga harus meneruskan bon hijau, sukuk dan bentuk pembiayaan hijau lain untuk alam semula jadi.”
Bawah EFT, negeri akan dibayar balik oleh kerajaan persekutuan untuk projek-projek yang memenuhi satu set kriteria mengenai pemuliharaan semula jadi atau hidupan liar. Ia mula diperkenalkan pada 2019, dengan peruntukan RM70 juta dalam bajet baru-baru ini.
Dua negeri – Pahang dan Kedah – dilaporkan meminta pampasan untuk mengekalkan hutan simpan masing-masing. Kedah meminta RM100 juta manakala Pahang RM17.1 bilion.