
Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah berkata, penukaran itu dibuat selepas mengambil kira situasi terkini pandemik Covid-19, khasnya kes Kategori 3, 4 dan 5 serta kadar penggunaan fasiliti kesihatan yang rendah.
Hospital Sungai Buloh diwartakan sebagai hospital khusus untuk merawat pesakit Covid-19 pada 10 Mac 2020.
“Langkah strategik ini dijalankan Kementerian Kesihatan (KKM) pada masa tersebut sebagai salah satu inisiatif untuk menampung keperluan katil hospital di Lembah Klang bagi merawat kes Covid-19 serta membolehkan pengurusan fasiliti, ubat-ubatan, peralatan perubatan, kepakaran dan sumber manusia yang optimum.
“Pada kemuncak operasinya, Hospital Sungai Buloh mampu menampung lebih 2,000 pesakit Covid-19 pada satu-satu masa dan sehingga semalam, seramai 92,874 pesakit Covid-19 dirawat di hospital ini sepanjang tempoh pandemik,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, selaras dengan strategi negara semasa fasa peralihan ke endemik Covid-19, KKM akan sentiasa memantau dan bersiap siaga dalam menyediakan perkhidmatan perubatan khusus bagi kes Covid-19.
“Ini termasuk perkhidmatan rawatan kritikal berdasarkan Pelan Strategik KKM Bagi Pengurusan Covid-19 sekiranya berlaku sebarang peningkatan kes di negara ini.”