Polis N9 belum terima laporan isu 2,000 ekor babi ‘hilang’

Polis N9 belum terima laporan isu 2,000 ekor babi ‘hilang’

Kerajaan Negeri Sembilan sebelum ini dilapor akan membuat laporan polis susulan kehilangan 2,000 ekor babi itu, pada 10 Apr lalu.

Polis Negeri Sembilan mengesahkan belum menerima sebarang laporan berhubung isu kehilangan 2,000 ekor babi, di 19 ladang tidak berlesen, di Kampung Baru Tanah Merah Site A, Port Dickson, kata Ketua Polis Negeri Sembilan Ruslan Khalid. (Gambar Reuters)
SEREMBAN:
Polis Negeri Sembilan mengesahkan pihaknya belum menerima sebarang laporan berhubung isu 2,000 ekor babi di 19 ladang tidak berlesen, di Kampung Baru Tanah Merah Site A, Port Dickson, dipercayai dibawa keluar dari kawasan itu tanpa pengetahuan pihak berkuasa.

Ketua Polis Negeri Sembilan Ruslan Khalid, berkata bagaimanapun pihaknya akan meneruskan siasatan lanjut, sekiranya menerima laporan polis mengenai kejadian terbabit.

“Setakat ini, belum ada lagi terima laporan polis dan kita akan semak berhubung perkara itu,” katanya dalam kenyataan yang dipetik Bernama.

Isnin lalu, media melaporkan kerajaan Negeri Sembilan akan mengambil tindakan undang-undang susulan isu 2,000 ekor babi di 19 ladang tidak berlesen di lokasi tersebut, dipercayai dibawa keluar dari kawasan itu tanpa pengetahuan pihak berkuasa berkaitan.

Sementara itu, Ruslan berkata, seorang lagi banduan yang melarikan diri dari Institusi Pemulihan Dadah Jelebu, Jabatan Penjara Malaysia, Jelebu, pada 10 Apr, dan masih bebas sudah disenaraikan sebagai individu dikehendaki polis dan usaha mencari lelaki itu giat dijalankan.

Banduan dikenali sebagai Muhammad Syafiq Rohmat, 32, atau nama gelaran Umai yang melarikan diri dari Penjara Jelebu, pada 10 Apr lalu.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai banduan ini, boleh salurkannya ke mana-mana balai polis berhampiran ataupun ke Ibu Pejabat Polis Daerah Jelebu di talian 06-6136 222 atau pegawai penyiasat Zuria Anis Mahassan di talian 016-6096 996.

Pada 18 Apr lalu, enam banduan yang ditahan semula itu telah didakwa di Mahkamah Majistret Bahau, Jempol, atas kesalahan melarikan diri dari Institusi Pemulihan Dadah Jelebu, Jabatan Penjara Malaysia, namun kesemua mereka tidak mengaku bersalah atas pertuduhan itu.

Kejadian berlaku kira-kira 6 pagi di Blok Muhasabah 2, institusi berkenaan yang kesemua tujuh banduan reman terbabit ditempatkan.

Mereka dipercayai melarikan diri melalui lubang siling serta keluar melalui lubang pagar disyaki dipotong menggunakan pemotong besi menuju semak di belakang penjara itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.