
Ini susulan letupan dan kebakaran di stor penyimpanan barang kes di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul ketika operasi melupuskan bunga api yang dirampas semalam.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Azmi Abu Kassim berkata, polis akan mencadangkan kaedah terbaik untuk melupuskan barang kes bunga api selepas meneliti laporan Jabatan Bomba dan Penyelamat serta Jabatan Kimia.
“Sesetengah barang kes tidak sesuai dilupus menggunakan kaedah sedia ada. Jadi kami akan meneliti perkara ini sebelum membuat cadangan kepada majistret,” katanya dalam sidang media hari ini.
Tanpa mendedahkan butirannya, Azmi mengulangi kaedah pelupusan yang digunakan semalam berdasarkan arahan mahkamah.
IPD Sentul sedang melupuskan bunga api dan mercun bernilai lebih RM4 juta yang dirampas dalam serbuan di Kepong bulan lalu ketika letupan dan kebakaran berlaku di tapak pelupusan.
Tiga pekerja pembersihan cedera semasa menjalankan kerja membersihkan tapak pelupusan dan menerima rawatan pesakit luar di Hospital Kuala Lumpur, manakala 50 kenderaan terbakar dalam kejadian itu.