Gara-gara cuba elak denda kad pengenalan hilang, remaja buat laporan palsu

Gara-gara cuba elak denda kad pengenalan hilang, remaja buat laporan palsu

Remaja berusia 18 tahun itu membuat laporan polis palsu mendakwa telah diragut di Puchong kerana ingin mengelak denda kehilangan kad pengenalan.

Sebanyak 14 kes laporan palsu dengan 12 kes telah didakwa di mahkamah mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan pada tahun lalu, menurut polis.
PETALING JAYA:
Seorang remaja perempuan sanggup membuat laporan polis palsu dengan mendakwa dirinya diragut semata-mata untuk mengelakkan daripada didenda kerana kehilangan kad pengenalan.

Remaja berusia 18 tahun itu mendakwa diragut oleh seorang penunggang motosikal yang tidak dikenali ketika berjalan kaki di Jalan Puteri 1/6, Bandar Puteri Puchong, Puchong.

Ketua Polis Daerah Serdang A Anbalagan berkata, hasil siasatan mendapati remaja tersebut membuat laporan palsu dan pihaknya membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan.

“Remaja tersebut dituduh hari ini di mahkamah di Petaling Jaya,” katanya dalam kenyataan malam semalam, lapor Bernama.

Anbalagan berkata, pihaknya menerima 14 kes laporan palsu dengan 12 kes telah didakwa di mahkamah mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan pada tahun lalu.

Katanya, sebanyak tiga kes melibatkan laporan palsu yang diterima pihaknya tahun ini dengan dua sudah dituduh di mahkamah.

“Kita menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat laporan polis palsu dengan mengambil jalan mudah bagi mengelakkan diri daripada dikenakan denda,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.