
Jerald Joseph, yang penggal dua tahunnya sebagai pesuruhjaya Suhakam berakhir semalam, berkata, Khairuzzaman adalah pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) berasa bimbang nyawanya terancam jika dihantar pulang.
Katanya, Khairuzzaman menyerahkan memorandum kepada Suhakam semalam meminta bantuan untuk menghentikan sebarang usaha kerajaan mengekstradisinya bagi menghadapi tuduhan rasuah yang “direka-reka” dan “muncul secara tiba-tiba”.
“Khairuzzaman adalah seorang pencari suaka dan pemegang kad UNHCR yang sah. Ini bermakna badan dunia itu menyedari bahaya yang akan dihadapinya apabila pulang ke Bangladesh.
“Berdasarkan keadaan ini, kami berharap kerajaan akan menghormati dan menegakkan dasar ‘non-refoulement’ antarabangsa.
“Apabila seseorang itu melarikan diri dari negaranya atas alasan yang sah, kita perlu berhati-hati dengan permintaan dari negara asalnya untuk dia dihantar pulang. Semakan sewajarnya mesti dilakukan mengikut prinsip antarabangsa,” kata Joseph kepada FMT.
Mengikut undang-undang hak asasi manusia antarabangsa, prinsip “non-refoulement” menjamin bahawa tiada sesiapa patut dikembalikan ke negara di mana mereka akan mengalami seksaan, layanan atau hukuman yang kejam, tidak berperikemanusiaan atau merendahkan maruah dan ancaman lain.
Joseph memuji tindakan kerajaan membebaskan Khairuzzaman tanpa syarat seminggu selepas beliau ditahan pada Februari oleh Jabatan Imigresen yang mahu memenuhi permintaan kerajaan Bangladesh untuk mengekstradisinya.
“Malaysia sepatutnya menyemak fakta semua dakwaan terhadapnya sebelum membuat tangkapan. Suhakam juga akan mendapatkan penjelasan daripada kerajaan Bangladesh mengenai tekanan yang dikenakan untuk mendapatkan (Khairuzzaman) kembali,” katanya.
Dalam memorandumnya, Khairuzzaman berkata, beliau bersyukur kerana kerajaan Malaysia bersimpati terhadapnya sejak 12 tahun lepas.
“Kini kerajaan Bangladesh sekali lagi mahu mendakwa saya atas tuduhan rasuah yang baru muncul, yang didakwa berlaku semasa saya berkhidmat di Malaysia pada 2007. Ini selepas lebih 14 tahun.
“Malah kerajaan di sana secara sepihak memendekkan prosedur pemfailan kes daripada sekurang-kurangnya tiga bulan kepada kurang dua minggu. Ini menunjukkan kesegeraannya untuk mendapatkan saya kembali dengan apa cara sekalipun.
“Kes itu, yang masih belum selesai di Mahkamah Sesyen Khas Bangladesh, mungkin diterjemah menjadi agenda baharu untuk mengarahkan saya pulang dan akhirnya menjatuhkan hukuman mati ke atas saya,” katanya.
Khairuzzaman berkata, Bangladesh sedang membuat satu lagi tuduhan palsu dan bersifat mala fide terhadapnya untuk meyakinkan Malaysia supaya menghantarnya pulang. Beliau menggesa Suhakam menghentikan pencabulan hak asasi manusia itu.
“(Oleh sebab itu) saya dan keluarga menderita dari segi mental dan psikologi dan mengalami trauma. Kami berharap Suhakam akan menggesa kerajaan agar menghentikan sebarang rancangan untuk menghantar saya pulang ke Bangladesh,” katanya.
Khairuzzaman ditahan pada Februari oleh pihak imigresen kerana didakwa tidak memiliki dokumen yang sah walaupun beliau memegang kad UNHCR. Namun, selepas tekanan daripada UNHCR dan NGO hak asasi manusia global, beliau dibebaskan seminggu kemudian.
Bekas duta itu dipanggil pulang ke Dhaka dua tahun selepas pelantikannya sebagai pesuruhjaya tinggi pada 2007 oleh kerajaan Liga Awami yang memenangi pilihan raya ketika itu.
Beliau kemudian meminta bantuan UNHCR untuk mengisytiharkannya sebagai pelarian selepas memberitahu agensi tersebut nyawanya terancam jika beliau pulang ke negaranya.