Rumah Bonda nafi dakwaan terbabit pemerdagangan manusia

Rumah Bonda nafi dakwaan terbabit pemerdagangan manusia

Pertubuhan Rumah Bonda menafikan sekeras-kerasnya dakwaan itu dan menggesa pihak mempunyai maklumat segera membuat laporan kepada pihak berkuasa.

Pengasas Rumah Bonda Siti Bainun Ahd Razali berdepan tuduhan mengabaikan dan menganiaya Bella, remaja perempuan berusia 13 tahun yang mengalami sindrom down.
PETALING JAYA:
Rumah kebajikan, Rumah Bonda menafikan sekeras-kerasnya dakwaan mereka terbabit dalam pemerdagangan manusia.

“Pertubuhan Rumah Bonda menafikan sekeras-kerasnya dakwaan tersebut dan menggesa mana-mana pihak yang mempunyai maklumat untuk segera membuat laporan kepada pihak berkuasa agar satu siasatan rasmi dapat dijalankan,” katanya dalam kenyataan.

Rumah kebajikan itu berkata demikian sebagai mengulas dakwaan ditimbulkan pengguna Facebook, “Che Muna Din” dan “Ahmad Aliff Sharifuddin” yang mendakwa mereka terbabit dalam pemerdagangan bayi.

Rumah Bonda berkata, selain menjadi rumah kebajikan, ia juga menjadi pusat perlindungan sementara bagi remaja dan remaja hamil.

“Jabatan Kebajikan Masyarakat Kuala Lumpur juga dengan perintah mahkamah, menghantar kanak-kanak tanpa penjaga ke Rumah Bonda dan remaja hamil luar nikah,” katanya.

Katanya, semua perbelanjaan menjaga kanak-kanak dan remaja hamil ditanggung menggunakan dana daripada hasil derma swasta, dana awam dan sumbangan.

Rumah bonda juga berkata, maklumat sulit berhubung bekas penghuni telah didedahkan secara tidak bertanggungjawab oleh seorang individu yang merupakan bekas kakitangan rumah perlindungan tersebut.

“Pertubuhan Rumah Bonda dengan ini menegaskan bahawa pada bila-bila masa Pertubuhan Rumah Bonda tidak mengizinkan rekod sulit bekas penghuni disalahgunakan dan disebarkan sedemikian rupa.

“Pertubuhan Rumah Bonda juga memandang serius percubaan pihak tertentu yang telah menghubungi dan mengganggu keluarga-keluarga angkat, menyebarkan maklumat dan gambar mereka di media sosial serta mendesak mereka untuk membuat laporan polis palsu dengan mendakwa berlaku kegiatan penjualan bayi di rumah perlindungan Rumah Bonda,” katanya.

Rumah kebajikan itu mendapat perhatian selepas pengasasnya, Siti Bainun Ahd Razali, berdepan tuduhan mengabaikan dan menganiaya Bella, remaja perempuan berusia 13 tahun yang mengalami sindrom down.

Siti Bainun, 30, mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan mengabai dan menganiaya remaja terbabit sehingga menyebabkannya mengalami kecederaan fizikal dan emosi, di sebuah unit kondominium, di Wangsa Maju, antara Februari dan Jun 2021.

Kes membabitkan bayi berusia 10 bulan, Adam Rizqi Abdul Azim, yang meninggal dunia dalam penjagaan rumah kebajikan itu dua tahun lalu, juga mendapat perhatian umum. Bagaimanapun, polis pada minggu lalu, menolak berlaku unsur jenayah terhadap kematian bayi berkenaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.