Op Selamat akan tahan pengguna ada waran tangkap lampau, kata Bukit Aman

Op Selamat akan tahan pengguna ada waran tangkap lampau, kata Bukit Aman

Pengguna memiliki waran tangkap akan dibawa ke balai polis, manakala yang mempunyai saman tertunggak diminta selesaikan saman.

Sepanjang Op Selamat bermula 29 Apr hingga 8 Mei, individu yang memiliki waran tangkap akan dibawa ke mana-mana balai polis berhampiran, manakala yang memiliki saman tertunggak pula akan diminta menjelaskan saman mereka, kata Timbalan Ketua Polis Negara Razarudin Husain.
PETALING JAYA:
Mana-mana pengguna jalan raya yang dikesan memiliki waran tangkap lampau akan ditahan sepanjang berlangsungnya Op Sikap bermula 29 Apr hingga 8 Mei ini, kata Timbalan Ketua Polis Negara Razarudin Husain.

Razaruddin berkata, individu yang memiliki waran tangkap akan dibawa ke mana-mana balai polis berhampiran, manakala yang memiliki saman tertunggak pula akan diminta menjelaskan saman mereka.

Katanya, polis juga akan mengoptimumkan penggunaan alat pengesanan had laju ‘In-Car Radar’ di sepanjang lebuh raya dan jalan raya utama sepanjang Op Selamat berlangsung.

“Alat ‘In-Car Radar’ ini akan membolehkan semua kereta peronda polis mengesan mana-mana kenderaan yang terbabit dalam kegiatan jenayah serta pemilik yang memiliki rekod jenayah dikehendaki polis.

“Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) juga akan menggunakan alat ‘Intelligent Compound Online Payment System’ (iCOPS) bagi mengesan pesalah trafik yang mempunyai saman tertunggak dan waran tangkap trafik pada operasi kali ini,” katanya menurut laporan Berita Harian.

Op Selamat 18 adalah kolaborasi antara polis dan Telekom Malaysia Berhad (TM) yang memfokuskan dua objektif utama, iaitu keselamatan harta benda dan premis kediaman serta menurunkan kadar jenayah pecah rumah ketika musim perayaan dan meminimumkan kes kemalangan jalan raya terutama kemalangan maut.

Dalam perkembangan berkaitan, Razarudin berkata, pihaknya menjangkakan jumlah kenderaan akan berada pada satu-satu masa di lebuh raya pada musim perayaan antara dua hingga empat juta kenderaan.

“Kita jangka jumlah kenderaan bermula Jumaat ini membabitkan mereka yang ingin pulang berhari raya di kampung di seluruh negara mencecah antara dua hingga empat juta,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.