Nahas 3 kenderaan, bayi 6 bulan maut

Nahas 3 kenderaan, bayi 6 bulan maut

Kejadian di Setiu, Terengganu petang semalam membabitkan membabitkan Proton Saga FLX, kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Unser serta motosikal jenis Honda Wave.

Keadaan kereta dinaiki lima beranak yang terbabit dalam kemalangan di Kilometer 75 Jalan Kuala Terengganu ke Kota Bharu di Kampung Air Sejuk, Setiu, petang semalam. (Gambar PDRM)
PETALING JAYA:
Bayi lelaki berusia enam bulan maut manakala ibunya parah dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Kilometer 75 Jalan Kuala Terengganu ke Kota Bharu di Kampung Air Sejuk, Setiu, petang semalam.

Kejadian membabitkan sebuah Proton Saga FLX, kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Unser serta motosikal jenis Honda Wave.

Menurut Ketua Polis Daerah Setiu Afandi Hussin, pihaknya menerima laporan berhubung kemalangan itu pada jam 4 petang.

Afandi berkata, mangsa, Mohammad Qais Rizqi Shafiee dari Padang Jawa, Klang, Selangor menaiki Proton Saga bersama keluarganya dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Katanya, bapa mangsa yang memandu kereta dan dua lagi anaknya masing-masing berusia lima dan dua tahun tidak mengalami kecederaan manakala ibunya, Nurul Ain Zulkarnain, 29, dilaporkan patah kaki kiri.

“Siasatan awal mendapati bayi itu bersama empat ahli keluarganya dalam perjalanan dari Rantau Panjang, Kelantan ke Kuala Terengganu.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, sebuah Toyota Unser dipandu seorang lelaki dari arah Kuala Terengganu menghala Kota Bharu dikatakan memasuki laluan bertentangan lalu bertembung dengan Proton Saga terbabit,” katanya menurut laporan Berita Harian.

Beliau berkata, kemudian penunggang motosikal jenis Honda Wave dari arah sama dengan Toyota Unser tidak sempat mengelak lalu bergesel dengan Proton Saga berkenaan.

“Lima mangsa lain yang terbabit dalam kemalangan itu dihantar ke Hospital Setiu untuk mendapatkan rawatan pesakit luar.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.