Perang habis-habis rokok seludup, pastikan generasi bebas nikotin, kata KJ

Perang habis-habis rokok seludup, pastikan generasi bebas nikotin, kata KJ

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata ikrar itu hanya dapat dilaksana jika RUU Kawalan Tembakau dan Merokok yang dibentang Julai ini diluluskan.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata, KKM akan mengadakan pertemuan dengan agensi penguatkuasaan bagi memastikan RUU Kawalan Tembakau dan Merokok dapat dilaksana secara holistik. (Gambar Bernama)
BANGI:
Kerajaan akan memerangi habis-habisan pasaran gelap dan rokok seludup bagi memastikan generasi yang lahir selepas 2005 bebas daripada ketagihan nikotin, kata Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.

Beliau berkata, ikrar itu hanya dapat dilaksanakan sekiranya Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Tembakau dan Merokok yang akan dibentang pada Julai ini diluluskan.

Katanya, KKM akan mengadakan pertemuan dengan agensi penguatkuasaan termasuk kastam dan polis dalam masa terdekat bagi memastikan undang-undang berkenaan dilaksanakan secara holistik.

Tonton video di sini.

“KKM akan adakan perjumpaan dengan agensi penguatkuasaan termasuk kastam dan polis. Kita mesti melaksanakan undang-undang ini sekali, supaya pelaksanaan dan penguatkuasaan yang lebih ketat lagi…

“Jika tidak kita tak dapat kuat kuasakannya. Kita juga akan pastikan mereka (agensi penguatkuasaan) juga terlibat dan (kita) isytihar perang besar-besaran terhadap pasaran gelap (rokok),” katanya pada sidang media selepas pelancaran Generasi Penamat Anti Rokok 18 (GEGAR-18) di SMK Bandar Seri Putra, disini.

Turut hadir, Menteri Pendidikan, Radzi Jidin.

Khairy menambah, dengan adanya akta baharu itu, aktiviti larangan merokok bukan hanya tertumpu kepada pemilikan dan pembelian tetapi turut merangkumi pengiklanan khususnya di media sosial.

Dalam pada itu katanya, pelan lima tahun GEGAR-18 akan membantu anak-anak GEG bersiap sedia bebas daripada sebarang bentuk tabiat merokok.

Di bawah peruntukan undang-undang larangan merokok, individu lahir pada 1 Jan 2005 dan selepas itu yang kini berada di Tingkatan 5 atau lebih muda tidak dibenarkan merokok termasuk membeli atau memiliki sebarang bentuk produk rokok termasuk rokok elektronik atau vape walaupun mereka melepasi umur 18 tahun.

Mengulas mengenai beberapa kelonggaran prosedur operasi standard (SOP) yang akan diumumkan tidak lama lagi selaras dengan status negara dalam fasa peralihan ke endemik, katanya, perincinan itu sedang diperhalusi dan akan dibentangkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri Rabu ini.

“Kes pun dah mulai turun, kita tak mahu lakukan kesilapan…kita mahu kelonggaran yang kita berikan bersifat selamat dan cermat, atas semangat itu saya akan bentangkan kepada Jemaah Menteri Rabu ini dan jika dipersetujui saya akan umumnya nanti,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.