8 lagi ditahan semula, 61 tahanan Rohingya masih lolos

8 lagi ditahan semula, 61 tahanan Rohingya masih lolos

Mereka yang masih lolos terdiri 51 lelaki dan enam wanita dewasa, tiga kanak-kanak perempuan dan seorang kanak-kanak lelaki.

Polis berkata, 467 daripada 528 tahanan yang melarikan diri dari Depot Imigresen Sementara Relau ditahan semula setakat 3 petang tadi. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Seramai 61 tahanan Rohingya yang lolos dari Depot Imigresen Sementara Relau di Bandar Baharu pada 20 April lalu masih lolos setakat 3 petang tadi.

Ketua Polis Kedah, Wan Hassan Wan Ahmad, berkata mereka terdiri daripada 51 lelaki dewasa, enam wanita dewasa, tiga kanak-kanak perempuan dan seorang kanak-kanak lelaki.

“Jumlah tahanan yang berada di depot pula adalah lapan orang, iaitu tujuh lelaki dewasa dan seorang kanak-kanak perempuan. Proses dokumentasi sedang dijalankan sebelum memindahkan mereka ke depot lain.

“Setakat 3 petang tadi, 467 tahanan berjaya ditahan semula, iaitu 243 lelaki, 91 wanita, 68 kanak-kanak lelaki dan 65 kanak-kanak perempuan. Operasi mengesan baki tahanan lain masih berjalan,” katanya dalam kenyataan yang dipetik Bernama.

Pada 20 April lalu, 528 tahanan Rohingya merusuh dan melarikan diri daripada depot tahanan itu kira-kira 4.30 pagi.

Bagaimanapun, enam daripada mereka, termasuk dua kanak-kanak maut dirempuh kereta ketika cubaan melarikan diri di KM165 Lebuhraya Utara Selatan berhampiran Jawi, Pulau Pinang.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.