Jawatankuasa khas Kabinet lindungi golongan rentan ditubuh

Jawatankuasa khas Kabinet lindungi golongan rentan ditubuh

Jawatankuasa itu akan memastikan semua pusat jagaan yang beroperasi diurus mengikut prosedur dan peruntukan di bawah Akta Pusat Jagaan 1993.

Ismail Sabri Yaakob (dua dari kanan) berbual dengan Bella di sebuah rumah kebajikan di Negeri Sembilan hari ini. Turut hadir Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Rina Harun (kanan). (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob berkata, Jawatankuasa Khas Kabinet Melindungi Golongan Rentan ditubuhkan bagi melindungi kebajikan golongan rentan, khususnya kanak-kanak, orang kurang upaya (OKU), wanita dan warga emas.

Beliau berkata, jawatankuasa yang dipengerusikan beliau sendiri itu dianggotai Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Pendidikan, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Kementerian Kesihatan dan Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).

Katanya, jawatankuasa itu akan memastikan semua pusat jagaan yang beroperasi diurus mengikut prosedur dan peruntukan di bawah Akta Pusat Jagaan 1993.

“Dalam hal yang sama, jawatankuasa ini juga akan melihat operasi institusi pengajian agama seperti pusat tahfiz tidak berdaftar dan tidak diurus dengan baik,” katanya menurut laporan Bernama.

Ismail berkata, jawatankuasa itu juga melihat isu berkaitan ketiadaan dokumen pengenalan diri yang boleh menjejaskan masa depan kanak-kanak terlibat.

“Jawatankuasa ini juga akan melihat akta lapuk yang dilihat perlu dipinda. Ini akan kita buat kajian supaya pembelaan dapat diberikan.”

Terdahulu, Ismail melawat remaja sindrom Down yang dikenali sebagai Bella di sebuah rumah kebajikan di bawah seliaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di Negeri Sembilan.

Katanya, Bella kini dalam keadaan baik, mempunyai keyakinan diri yang tinggi dan boleh menguruskan dirinya dengan baik.

“Hari ini, saya berpeluang berjumpa dengan adik Bella di tempat yang selamat di bawah jagaan JKM. Bella ditempatkan di sini sejak 5 Julai tahun lepas.

“Dalam pemerhatian saya tadi, saya dapati emosi Bella dalam keadaan normal, tiada lagi gangguan emosi seperti ketika dia mula masuk ke sini. Malah kecederaan, luka dan sebagainya telah pulih.”

Beliau berkata, kerajaan memandang serius kejadian menimpa Bella yang didakwa didera dan diabaikan sejak 2020.

“Kes anak istimewa ini sedang dibicarakan di mahkamah dan semua pihak perlu menghormati proses undang-undang yang sedang berjalan. Kejadian yang menimpa adik Bella ini merupakan salah satu daripada beberapa kes yang berlaku, tetapi tidak dilaporkan kepada pihak berkuasa.”

Ismail menasihatkan rakyat yang mengikuti perkembangan Bella supaya memberi kepercayaan penuh kepada mahkamah untuk membuat keputusan dalam kes melibatkan remaja itu.

“Dalam kes Bella, perkara ini telah dibawa ke mahkamah, oleh itu adalah ‘sub judice’ kalau dibincangkan perkara itu secara terbuka, kita serahkan kepada mahkamah untuk membuat keputusan. Kalau kita terlampau memberi komen, kita boleh dianggap mengganggu perjalanan perbicaraan mahkamah dan dianggap ‘sub judice’.”

Sementara itu, Ismail berkata, setakat ini terdapat 1,898 pusat jagaan berdaftar di bawah JKM dan daripada jumlah itu 1,255 adalah pusat jagaan kanak-kanak, pusat jagaan OKU (202), pusat jagaan warga emas (383), pusat jagaan wanita (10) dan pelbagai (48).

Katanya, kerajaan turut mengesan 1,025 pusat jagaan yang beroperasi tanpa mendapat kelulusan perakuan pendaftaran JKM.

Selain itu, sebanyak 4,384 institusi pengajian agama yang berdaftar di seluruh negara, termasuk 1,208 maahad tahfiz swasta dan 272 sekolah pondok dan madrasah.

“Bagaimanapun, dilaporkan terdapat lebih 1,000 institusi pengajian agama, termasuk pusat tahfiz tidak berdaftar dengan pihak berkuasa agama kerajaan persekutuan atau kerajaan negeri.”

Katanya, kerajaan tidak mahu kebakaran yang meragut nyawa 21 pelajar dan dua guru di Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, Jalan Datuk Keramat, Kuala Lumpur pada 14 Sept 2017 dan kebakaran di Sekolah Agama Rakyat Taufiqiah Al-Khairiah Al-Halimiah di Kampung Padang Lumut, Yan, Kedah, yang mengorbankan 27 pelajar perempuan pada 1989, berulang.

“Bagi membendung kes penderaan dan kecuaian melibatkan golongan rentan ini, kerajaan menyeru seluruh Keluarga Malaysia lebih prihatin dan mengamalkan sikap ambil peduli dengan melaporkan kepada pihak berkuasa,” katanya.

Ismail berkata, JKM juga akan distruktur semula agar lebih efisyen.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.