
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Razlan Rafii berkata, sekiranya dokumen itu tidak benar, perlu ada penafian daripada semua pihak terlibat.
“PAS kena beri penjelasan. Ini libatkan nama besar-besar.
“Sebab sebelum ini ada mengatakan untuk lemahkan Umno perlu letak kesalahan kepada Ahmad Zahid Hamidi dan Najib Razak,” katanya kepada FMT.
Dokumen bocor itu dikatakan “minit mesyuarat” PAS yang didakwa menyebut rancangan untuk menjatuhkan Umno dan BN.
Beberapa pemimpin terkenal dikaitkan dengan dakwaan plot itu, termasuk Menteri Besar Terengganu yang juga Naib Presiden PAS, Ahmad Samsuri Mokhtar, Setiausaha Agung PAS, Takiyuddin Hassan dan pemimpin Bersatu, Azmin Ali serta Hamzah Zainudin.
Samsuri dilapor menafikan wujudnya pakatan untuk menjatuhkan pemimpin Umno dan menyifatkan dokumen ditularkan itu sebagai “sampah”.
Sementara itu, seorang lagi Ahli MKT Umno, Mohd Fathul Bari Mat Jahya mengambil pendekatan bersangka baik berhubung dokumen PAS yang bocor itu.
“PAS kata tak betul tak apalah. Kita takut betul. Tuan badan kata tak betul, kita bersyukur.
“Kita bersangka baik saja. Parti juga perlu mengambil serius gerak kerja seperti ini kerana perosak dari dalaman adalah masalah besar.”