Muda gesa kerajaan laksana 3 dasar tangani kemusnahan hutan

Muda gesa kerajaan laksana 3 dasar tangani kemusnahan hutan

Muda kesal dengan sikap kerajaan negeri yang membenarkan penggondolan hutan yang tidak terkawal yang telah mendatangkan begitu banyak penderitaan kepada ribuan rakyat jelata.

Ahli Jawatankuasa Eksekutif Muda, Lim Wei Jiet berkata untuk mencapai cita-cita Malaysia dalam memastikan lebih daripada 50% keluasan negara adalah hutan, peratusan kawasan hutan yang dilindungi sepenuhnya perlu ditingkatkan kepada 30% menjelang tahun 2030.
PETALING JAYA:
Muda menggesa kerajaan persekutuan dan negeri melaksanakan tiga dasar bagi menangani kemusnahan hutan tidak terkawal susulan dakwaan kumpulan alam sekitar Rimba Disclosure Project (RDP) bahawa Semenanjung Malaysia akan menyaksikan penebangan hutan sehingga 72,584.73 hektar, seluas kira-kira saiz negara Singapura, dalam masa terdekat.

Ahli Jawatankuasa Eksekutif Muda, Lim Wei Jiet berkata, parti itu kesal kerana kerajaan negeri membenarkan penggondolan hutan yang tidak terkawal terutama sekali apabila negara baru sahaja menghadapi musibah banjir besar yang telah mendatangkan begitu banyak penderitaan kepada ribuan rakyat jelata.

Katanya, antara tiga dasar yang perlu dilakukan kerajaan pusat dan negeri antaranya meningkatkan peratusan kawasan perlindungan menambahbaik Ecological Fiscal Transfer (EFT) dan memperkenalkan kebolehlaksanaan Payment for Ecosystem Services (PES) serta memperkasakan pemimpin dan komuniti yang terlibat dalam pemuliharaan hutan.

“Muda percaya bahawa untuk mencapai cita-cita Malaysia dalam memastikan lebih daripada 50% keluasan negara adalah hutan, peratusan kawasan hutan yang dilindungi sepenuhnya perlu ditingkatkan kepada 30% menjelang tahun 2030.

“Selain itu, Muda juga menitikberatkan Tanah Adat ataupun kawasan ekosistem yang menyokong kehidupan masyarakat setempat juga harus dilindungi selain menggesa kerajaan menambahbaik mekanisme EFT dan memperkenalkan kebolehlaksanaan Payment PES untuk menyokong usaha pemuliharaan kepelbagaian biologi,” katanya dalam kenyataan.

Lim berkata, EFT berfungsi sebagai bantuan kewangan yang disalurkan oleh kerajaan persekutuan ke kerajaan negeri sebagai insentif untuk melindungi kawasan ekologi dalam sempadan mereka.

Katanya, pembiayaan EFT harus ditingkatkan, ditambah lagi dengan ketelusan data ekologi dan data kewangan yang telus. PES, satu sistem bayaran daripada pihak kerajaan kepada para petani dan pemilik tanah yang melakukan usaha pemuliharaan, bukan sahaja dapat mengekang kehilangan kepelbagaian biologi malah dapat mengekalkan perkhidmatan ekosistem secara mapan.

“Muda percaya bahawa masyarakat Orang Asli adalah penting sebagai pelindung kepelbagaian biologi dan harus dijadikan pembuat keputusan utama dalam projek pemuliharaan, terutamanya bagi penambahbaikan pengurusan kawasan perlindungan di Malaysia.

“Di samping itu, penajaan perlu disalurkan kepada pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan yang bekerja dalam sektor perlindungan hutan. Seterusnya, Operasi Bersepadu Khazanah juga mesti diperkasakan untuk menangani isu rasuah dalam jenayah penyeludupan hidupan liar dan sumber asli,” katanya.

Terdahulu media melaporkan kumpulan alam sekitar RDP mendakwa bahawa Semenanjung Malaysia akan menyaksikan penebangan hutan sehingga 72,584.73 hektar, kira-kira saiz negara Singapura, dalam masa terdekat.

Berdasarkan penyelidikan kumpulan itu pada 2021, mereka mendakwa 86 penilaian kesan alam sekitar (EIA) membabitkan tanah berhutan didakwa telah diluluskan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.