Mampu teguh semula jika ambil langkah yang betul

Mampu teguh semula jika ambil langkah yang betul

Pengalaman kontraktor utama dalam industri minyak dan gas menunjukkan perancangan baik dapat meneguhkan semula kedudukan penggiat industri.

Syarikat besar dunia turut terjejas teruk akibat kejatuhan harga minyak namun langkah tepat pada masanya oleh pihak berkepentingan telah membantunya menempuh tempoh sukar.
PETALING JAYA:
Kontraktor minyak dan gas (O&G) sememangnya terdedah kepada turun naik harga minyak mentah memandangkan mereka menawarkan khidmat. Di sebalik risiko itu, banyak yang berjaya meneguhkan semula kedudukan mereka menerusi pelan pemulihan berdaya maju.

Satu contoh yang boleh dilihat ketika kejatuhan harga minyak pada 2014-2015. Ketika itu minyak mentah dijual USD114 setong pada Ogos 2014, namun menjelang Februari 2016, harganya cuma sekitar USD40 setong.

Syarikat minyak terpaksa menyemak semula kontrak bersama pembekal perkhidmatan masing-masing. Akibatnya hasil yang diraih oleh kontraktor O&G termasuk syarikat ternama berkurangan. Rata-rata semuanya melaporkan kerugian, sama ada sepanjang atau sebahagian tempoh enam tahun bermula dari 2016 hingga 2021.

Contohnya, Seadrill, penyedia perkhidmatan gerudi ultra-dalam, melihat hasil diraihnya menurun daripada USD3.2 bilion pada 2016 kepada hanya USD1 bilion pada 2021. Dalam tempoh sama, syarikat itu melaporkan kerugian sekitar USD111 juta pada 2016 sehingga USD4.7 bilion pada 2020.

TechnipFMC, syarikat Perancis yang menawarkan perkhidmatan pengurusan projek, kejuruteraan dan pembinaan dalam industri tenaga, turut melaporkan hasil berkurangan dan kerugian yang besar. Hasil syarikat merosot daripada USD15.1 bilion pada 2017 kepada hanya USD6.4, tahun lalu.

Pada 2018, TechnipFMC melaporkan kerugian sebanyak USD1.9 bilion yang kemudian bertambah menjadi USD2.4 bilion pada 2019, seterusnya USD3.3 bilion pada 2020.

Penyedia perkhidmatan minyak Itali, Saipem S.p.A. turut melihat hasil semakin berkurangan daripada €10 bilion pada 2016 kepada €6.9 bilion pada 2021. Dalam tempoh sama, ia melaporkan kerugian tahunan daripada sekitar €328 juta hingga €2.1 bilion.

Turut terkesan McDermott International dari Amerika Syarikat; Subsea 7 dari United Kingdom; kontraktor gerudi AS, Transocean Ltd; Baker Hughes iaitu satu lagi penggiat industri dari AS; serta Velesto Energy dari Malaysia.

Keadaan kewangan penggiat O&G semakin buruk susulan wabak Covid-19 selepas banyak negara melaksanakan ‘lockdown’. Ini mengakibatkan penangguhan selain peningkatan kos tunggu sedia dan kuarantin.

Covid-19 juga mengakibatkan Technip terpaksa menggalas kos tambahan sebanyak USD160 juta pada 2020 dan 2021.

Selain itu, wabak mengakibatkan Saipem mengalami kerugian €188 juta disebabkan penangguhan projek serta perbelanjaan tambahan lain yang tidak dijangka akibat Covid-19.

Subsea 7 rugi USD97 juta akibat Covid-19 manakala SEB pula kerugian sekitar RM570 juta.

Bagaimanapun, pemegang taruh masing-masing menunjukkan respons positif terhadap usaha penstrukturan semula syarikat dalam usaha menghasilkan semula keuntungan.

McDermott dan Seadrill melakukan penyusunan semula di bawah undang-undang muflis (atau Chapter 11) bagi mengurangkan hutang. Hasilnya McDermott memperoleh surat kapasiti kredit sebanyak USD2.4 bilion, selain hutang berdana sebanyak USD544 juta.

Kunci kira-kira Seadrill kini lebih kukuh dan kemas dengan hutang berjaya dikurangkan sebanyak 85% atau USD4.9 bilion berbanding jumlah asal USD5.6 bilion. Ia turut berjaya memperolehi modal baharu sebanyak USD350 juta.

TechnipFMC pula telah dibahagi dua: TechnipFMC menjadi penyedia perkhidmatan dan teknologi bersepadu penuh, manakala Technip Energies tumpu kepada peralihan tenaga global.

Pemegang saham terbesar Saipem pula menjanjikan €1.5 bilion daripada €2 bilion yang diminta.

Syarikat minyak negara, Petronas berkata, ia telah melakukan sebanyak yang boleh, walaupun ada dakwaan sebaliknya.

Dalam wawancara baru-baru ini bersama The Edge, CEO Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz berkata, Petronas telah membantu SEB dengan pembayaran “milestone” dan terma kredit, sambil mengurangkan jaminan prestasi agar “mereka tidak perlu membayar jumlah yang terlalu tinggi”. Beliau menolak dakwaan bahawa syarikat minyak mengabaikan ekosistem vendor.

Terdapat dakwaan bahawa kenaikan harga minyak memberi manfaat “tidak seimbang” kepada syarikat minyak utama yang beroperasi di Malaysia, manakala pihak lain dalam rantaian bekalan merana.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.