Kerajaan akan umum beberapa lagi kelonggaran SOP, kata KJ

Kerajaan akan umum beberapa lagi kelonggaran SOP, kata KJ

Menteri kesihatan berkata, pihaknya akan mengumumkan sedikit kelonggaran demi kelonggaran untuk membolehkan kehidupan kembali seperti normal.

Khairy Jamaluddin berkata, walaupun SOP dilonggarkan, kerajaan masih mewajibkan pemakaian pelitup muka bagi mencegah penularan wabak Covid-19. (Gambar Bernama)
PUTRAJAYA:
Kerajaan akan mengumumkan beberapa lagi kelonggaran prosedur operasi standard (SOP) selaras dengan status negara yang kini dalam Fasa Peralihan ke Endemik, kata Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.

“Insya-Allah dari semasa ke semasa, KKM (Kementerian Kesihatan) akan mengumumkan sedikit kelonggaran demi kelonggaran untuk kita kembali seperti normal.

“Tetapi biarlah kita lambat sedikit asalkan kita selamat dan janganlah kita mengulangi kesilapan negara lain,” katanya ketika berucap pada majlis penyerahan Projek Bangunan Tambahan Blok Baharu Institut Endokrin Hospital Putrajaya di sini hari ini.

Terdahulu, pada sidang media berasingan, Khairy ketika ditanya mengenai kelonggaran pemakaian pelitup muka di Malaysia hanya berkata: “Tunggu minggu depan.”

Beliau berkata setakat ini, kerajaan masih mewajibkan pemakaian pelitup muka bagi mencegah penularan wabak Covid-19.

Beliau berkata meskipun negara kini berada dalam Fasa Peralihan ke Endemik, masyarakat masih perlu mematuhi SOP dan langkah kesihatan awam yang ditetapkan bagi mencegah penularan Covid-19.

“Ini adalah sangat penting sebab kalau kita lihat pengurusan pandemik di Malaysia pada hari ini, kita semakin berjaya.

“Kes semakin terkawal, kemasukan ke hospital semakin menurun serta kadar kematian akibat Covid-19 dan kemasukan ke unit rawatan rapi (ICU) menurun,” katanya.

Berhubung isu MySejahtera yang dibangkitkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) Wong Kah Woh semalam, Khairy berkata beliau sedia dipanggil semula untuk memberi keterangan lebih lanjut kepada PAC.

“Saya tidak pasti apa yang dimaksudkan (oleh Wong), saya jelas dengan keterangan saya… kalau dia ingin panggil semula, panggillah,” katanya.

Semalam, Wong berkata kerajaan ‘kelihatan seperti keliru’ siapa yang melantik KPISoft Sdn Bhd sebagai vendor aplikasi MySejahtera berikutan tiada kontrak formal antara syarikat itu dengan kerajaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.