Kematian CEO Cradle Fund diperlihatkan seperti kemalangan, kata pendakwa raya

Kematian CEO Cradle Fund diperlihatkan seperti kemalangan, kata pendakwa raya

Tengku Intan Suraya Tengku Ismail berkata, ini disokong oleh keterangan pakar patologi forensik bahawa terdapat bukti mayat Nazrin Hassan dialihkan.

Jabatan Bomba dan Keselamatan mendapati telefon bimbit BlackBerry S2 milik Nazrin Hassan tidak meletup seperti yang didakwa oleh pihak pembelaan. (Gambar Bernama)
SHAH ALAM:
Mahkamah Tinggi diberitahu kematian CEO Cradle Fund telah diperlihatkan seperti kemalangan, berdasarkan bedah siasat kedua.

Timbalan Pendakwa Raya Tengku Intan Suraya Tengku Ismail berkata, Dr Prashant Naresh Samberkar memberi keterangan bahawa terdapat kesan mayat Nazrin dialihkan dan corak tidak teratur ditemui di bahagian belakang mayat.

Beliau berkata, saksi pendakwaan ke-50 itu juga memberi keterangan bahawa terdapat garisan darah kering pada bahu kiri si mati.

“Keterangan itu selaras dengan (keterangan) pakar bom polis Saad Md Nasir,” katanya dalam penghujahannya ketika penutupan kes pendakwaan.

Intan berkata, Saad juga memberi keterangan bahawa telefon bimbit BlackBerry S2 milik Nazrin tidak meletup seperti yang didakwa oleh pihak pembelaan.

Katanya lagi, keterangan Saad turut disokong oleh keterangan pegawai bomba dan penyelamat, Abdul Halim Zulkifli dan Edwin Galan Anak Teruki bahawa mereka menemui tiga punca asal kebakaran di tempat kejadian.

Beliau berkata, Rosdiyana Sudarto daripada jabatan sama, yang menjalankan pemeriksaan X-ray pada telefon bimbit itu, turut mendedahkan peranti itu tidak meletup.

Intan, yang mengendalikan pendakwaan bersama Timbalan Pendakwa Raya Sanawi Abu Hanipah dan Nur Sabrina Zubairi, berkata pegawai Suruhanjaya Tenaga, Abdul Rahim Wan Chik menyatakan sistem elektrik di rumah itu berada dalam keadaan baik dan berfungsi dengan baik.

“Tidak mungkin terjadi litar pintas atau wujud sebarang isu telefon bimbit dicas berlebihan,” katanya.

Beliau berkata, kelakuan tiga tertuduh dan pembantu rumah warga Indonesia mereka, Eka Wahyu Lestari, mendedahkan mereka mempunyai pengetahuan tentang jenayah itu berdasarkan teori “terakhir dilihat bersama”.

Katanya, salah seorang tertuduh, iaitu isteri Nazrin, Samirah Muzaffar, menghantar Eka pulang ke Indonesia kira-kira satu setengah bulan selepas kejadian.

“Pihak pendakwaan telah membuktikan kes prima facie dan tertuduh mesti membela diri untuk menjawab tuduhan itu,” katanya.

Samirah dan dua remaja, bersama Eka yang masih bebas, didakwa membunuh Nazrin di rumah mereka di Mutiara Damansara pada 14 Jun 2018.

Kedua-dua remaja itu tidak boleh dinamakan kerana mereka masih di bawah umur ketika kejadian.

Peguam bela Shafee Abdullah berkata, keterangan Prashant tidak boleh diguna pakai kerana keterangannya mengenai pendapat tambahan bercanggah dengan bedah siasat pertama yang dijalankan oleh pakar patologi forensik Dr Siew Sheue Feng.

“Beliau mengaku membuat pendapat beberapa hari sebelum memberi keterangan dan selepas pertemuan dengan pihak pendakwaan,” kata Shafee.

Beliau berkata, banyak penemuan penting oleh Siew tidak dapat disokong oleh Prashant disebabkan pereputan mayat ketika bedah siasat kedua dijalankan.

Shafee yang dibantu Rahmat Hazlan berkata, pihak pendakwaan mendakwa ia adalah “staged crime” tetapi tidak menawarkan keterangan yang kukuh untuk menyokongnya.

“Pegawai penyiasat juga tidak memberi keterangan mengenai perkara ini,” katanya.

Beliau berkata, nyawa ketiga-tiga tertuduh tidak seharusnya bergantung kepada Prasanth yang “bertungkus lumus” membantu pihak pendakwaan.

Menurut Shafee, tertuduh berada di rumah itu tetapi pihak pendakwaan tidak boleh bergantung kepada keterangan mengikut keadaan dan teori “terakhir dilihat bersama” untuk mengaitkan mereka.

Beliau juga berkata, polis menyatakan bahawa mereka tidak dapat mengesan pembantu rumah itu tetapi mendedahkan dia didapati bekerja di sebuah kedai kopi di Sarawak.

“Pihak pendakwaan gagal membuktikan kes mereka dan tertuduh harus dibebaskan tanpa dipanggil membela diri,” katanya.

Hakim Ab Karim Ab Rahman akan menyampaikan keputusannya pada 30 Mei.

Seramai 57 saksi memberi keterangan dalam perbicaraan yang bermula pada 6 Sept 2019 itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.