Hakim Nazlan lapor polis berkait dakwaan RM1 juta dalam bank

Hakim Nazlan lapor polis berkait dakwaan RM1 juta dalam bank

Laporan dibuat bagi menafikan tuduhan palsu dan tidak berasas yang berniat menjatuhkan kredibiliti beliau sebagai hakim Mahkamah Rayuan.

Nazlan Mohd Ghazali berkata, tuduhan palsu dan tidak berasas menerusi artikel terbabit berniat menjatuhkan kredibiliti beliau sebagai hakim.
PETALING JAYA:
Hakim Mahkamah Rayuan, Nazlan Mohd Ghazali membuat laporan polis berhubung satu artikel mendakwa beliau sedang disiasat kerana wang yang tidak dapat dijelaskan dalam akaun banknya.

Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan dalam kenyataan berkata, laporan itu dibuat bagi menafikan tuduhan palsu dan tidak berasas yang berniat menjatuhkan kredibiliti Nazlan sebagai hakim selain mengganggu sistem keadilan serta institusi kehakiman.

“Pejabat ini memandang serius terhadap tuduhan dan komen seperti ini dan mengingatkan orang ramai bahawa tuduhan terhadap badan kehakiman bertujuan mengganggu-gugat kes-kes yang sedang dalam proses perbicaraan adalah satu pelanggaran prinsip sub judice.

Tonton video di sini.

“Pejabat ini juga menggesa agar pihak polis dapat menjalankan siasatan dengan segera demi memelihara keyakinan orang ramai terhadap institusi kehakiman negara serta memastikan pentadbiran keadilan dapat berjalan dengan baik,” katanya.

Pejabat itu merujuk kepada artikel ditulis oleh Raja Petra Kamarudin di Malaysia Today bertajuk “Judge Mohd Nazlan being investigated for unexplained RM1 million in his bank account” pada 20 April lalu.

Kenyataan itu turut menyebut, kes terbabit akan disiasat di bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan peruntukan undang-undang lain yang berkaitan, dapat dijalankan.

Terdahulu, badan kehakiman sebelum ini telah membuat laporan polis berhubung dua artikel membabitkan hakim Mahkamah Rayuan, Nazlan Mohd Ghazali dalam kes 1MDB dan SRC International.

Ia membabitkan artikel Malaysia Now bertajuk “Group calling for Najib’s pardon now wants judge Nazlan arrested” dan blog Malaysia Today bertajuk “Shocking Revelation: Najib’s Trial Judge Nazlan’s Conflict-of-Interest Exposed” bertarikh 14 Mac lalu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.