
Peguam Lavinia Kumaraendran yang mewakili Irwan berkata permohonan itu akan didengar di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Amarjeet Singh.
“Tarikh pendengaran itu ditetapkan oleh Penolong Kanan Pendaftar Azlinda Ahmad Sharif ketika pengurusan kes saman tersebut hari ini,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Irwan selaku defendan kedua memfailkan permohonan itu pada 18 Feb lepas.
1MDB, yang memfailkan saman terhadap Arul Kanda dan Irwan pada Mei tahun lepas, mendakwa kedua-dua defendan telah melakukan pecah amanah dan konspirasi menyebabkan 1MDB mengalami kerugian berjumlah USD1.83 bilion berhubung pelaburan dalam 1MDB-Petrosaudi Ltd yang ditukar kepada pelaburan Brazen Sky Limited (Brazen Sky), yang dikatakan terdapat dalam Bridge Global Fund.
Dalam permohonannya, Irwan antaranya mendakwa tuntutan saman terhadapnya adalah pramatang kerana pelaburan Brazen Sky serta pembayaran Aabar Investments PJS Limited adalah jelas tidak kukuh memandangkan mahkamah masih belum menentukan 1MDB mengalami kerugian sebanyak USD1.83 bilion dan USD3.5 bilion.
Irwan mendakwa beliau tidak mempunyai sebarang kewajipan kontrak, statutori atau fidusiari terhadap 1MDB kerana pelantikannya sebagai pengarah syarikat itu adalah selepas kerugian yang didakwa dialami 1MDB
Beliau berkata tuntutan kerugian yang kononnya dialami 1MDB adalah satu penyalahgunaan proses mahkamah kerana syarikat itu telah memperoleh wang sejurus penyelesaian dicapai dalam tuntutan sivil terhadap pihak lain yang difailkan 1MDB.
1MDB juga mendakwa kedua-dua defendan melakukan pecah amanah dan konspirasi dengan menyeleweng wang 1MDB berjumlah US$3.5 bilion yang dibayar kepada Aabar Investments dan USD1.265 bilion dibayar kepada International Petroleum Investment Company (IPIC) pada 9 Mei 2017.
Menurut 1MDB, Irwan juga berkonspirasi dengan Arul Kanda untuk menyebabkan syarikat itu melaksanakan Perjanjian Pelanjutan Pekerjaan dan membuat pembayaran berjumlah RM2,905,200 kepada Arul Kanda selaras dengan perjanjian tersebut tanpa menghiraukan kepentingan 1MDB sehingga menyebabkan syarikat berkenaan mengalami kerugian.
Sehubungan itu, 1MDB antaranya menuntut kedua-dua defendan membayar USD6.59 bilion berhubung pelanggaran tersebut dan tambahan RM2.9 juta daripada Irwan berkaitan perjanjian pelanjutan pekerjaan.