2 tahun berlalu, ‘berita palsu’ terus hantui aktivis Rohingya dan keluarga

2 tahun berlalu, ‘berita palsu’ terus hantui aktivis Rohingya dan keluarga

Pada 2020, sebuah catatan di media sosial mendakwa Zafar Ahmad Abdul Ghani menuntut kewarganegaraan Malaysia bagi pelarian, dan ini mencetuskan gelombang kebencian terhadap dirinya sekeluarga.

Zafar Ahmad Abdul Ghani berkata, beliau hanya mampu berdoa dan mengharapkan yang terbaik.
PETALING JAYA:
Pada April 2020, satu catatan di media sosial yang secara palsu mendakwa Zafar Ahmad Abdul Ghani menuntut kewarganegaraan Malaysia bagi pelarian mencetuskan gelombang ucapan kebencian dan ugutan bunuh terhadap aktivis Rohingya itu sekeluarga.

Setelah dua tahun berlalu, “berita palsu” itu terus menghantui Zafar, isterinya Maslina Abu Hassan dan tiga anak mereka.

Keluarga itu hidup dalam ketakutan, yang dirasai dengan setiap ancaman bunuh atau mesej kebencian yang baharu. Kini Zafar, yang mengetuai Pertubuhan Hak Asasi Manusia Etnik Rohingya Myanmar Malaysia, jarang-jarang keluar rumah.

Dalam satu kejadian, tayar kereta keluarga itu turut dikelar.

Maslina, seorang rakyat Malaysia, berasa buntu. Tekanan itu “tidak dapat digambarkan”, katanya kepada FMT.

“Ia amat sukar bagi saya kerana saya perlu menggantikannya (Zafar) sebagai penjaga keluarga. Tiada kata-kata dapat menggambarkan tekanan emosi dan kewangan yang kami tanggung kerana kehilangan mata pencarian akibat berita palsu dan tuduhan palsu terhadap suami saya,” keluhnya.

Maslina menambah, anak-anaknya masih panik apabila mendengar kenderaan di luar rumah dan bermimpi ngeri tentang cubaan menculik mereka.

“Saya tak dapat jangka masa depan mereka, memandangkan berita palsu dan tuduhan palsu itu menjejaskan kami secara individu dan juga sebuah keluarga.

Maslina Abu Hassan berkata, beliau sedang bergelut menguruskan anak-anaknya sambil menjaga Zafar.

“Saya mahu orang di luar sana faham, jika anda berada di tempat saya dan anak-anak anda menjadi sasaran – apa perasaan dan reaksi anda?

“Anda teruskan hidup dengan gembira tetapi anda tidak tahu bagaimana kami bergelut, apa yang anak-anak saya rasa dan bagaimana kami hadapinya,” katanya dengan linangan air mata.

Keadaan ini paling sukar dihadapi anak sulungnya berbanding tiga anaknya yang lain, katanya sambil menambah, beliau juga bersusah-payah menguruskan mereka sementara menjaga Zafar.

“Saya cuba sedaya upaya untuk melakukan segala yang mungkin untuk menjamin keselamatannya dan saya harap pihak yang bertanggungjawab akan melakukan sesuatu mengenainya,” katanya.

Zafar berkata, walaupun ugutan bunuh telah berkurangan, beliau masih trauma dengan episod itu. Bulan lepas katanya, beliau diancam menerusi telefon.

“Saya masih mengambil ubat (anti-kemurungan) untuk menjadi lebih kuat. Saya telah kehilangan segala-galanya, termasuk ketenangan saya,” katanya.

Zafar Ahmad Abdul Ghani dan Maslina Abu Hassan menunjukkan ubat-ubatan anti-kemurungan yang diambil Zafar.

“Saya masih hidup dalam ketakutan. Saya tidak dapat menyara keluarga dan memikul tanggungjawab sebagai suami dan bapa. Tiada apa yang boleh saya lakukan, saya tidak boleh memenuhi keperluan (mereka).”

Apabila ditanya mengenai langkah yang diambilnya untuk mengatasi situasi ini, Zafar berkata, beliau hanya mampu berdoa dan mengharapkan yang terbaik.

Zafar, yang berdaftar dengan Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) berkata, beliau telah memohon untuk ditempatkan semula di negara lain, tetapi tidak menerima sebarang maklumat terkini daripada agensi itu.

“Tiada maklum balas setakat ini. Saya percaya dan berharap UNHCR dapat membantu. UNHCR mungkin sudah dapat buat sesuatu (beri penempatan semula) jika mereka mahu,” katanya selain menambah bahawa kali terakhir beliau menghantar surat kepada agensi itu adalah pada bulan lepas.

Zafar berharap agensi itu dan kerajaan Malaysia akan bekerjasama membantu proses penempatan semula untuk beliau sekeluarga dengan segera.

“Saya perlu perlindungan (antarabangsa) segera daripada UNHCR dan sebaik sahaja saya meninggalkan (Malaysia), saya mungkin boleh sambung hidup saya, dapat pekerjaan yang lebih baik dan teruskan advokasi saya untuk Myanmar,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.