Tiada paksaan warga emas ambil dos penggalak ke-2

Tiada paksaan warga emas ambil dos penggalak ke-2

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, Kementerian Kesihatan sekadar mengesyorkan suntikan dos penggalak kedua untuk warga emas berisiko tinggi.

Warga emas diberi pilihan untuk mengambil suntikan dos penggalak kedua atau tidak bagi menambah perlindungan terhadap gejala serius Covid-19.
KUALA LUMPUR:
Tiada paksaan bagi warga emas berisiko tinggi mengambil suntikan dos penggalak kedua, kata Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin.

Beliau menerusi video 2 minit 20 saat di Twitter hari ini berkata, individu terlibat diberikan pilihan sama ada mengambilnya atau tidak bagi menambah perlindungan terhadap gejala serius Covid-19.

“Ini pilihan, Kementerian Kesihatan (KKM) mengesyorkan sahaja. Jangan kata saya paksa…saya cuma nak pastikan warga emas kita dapat perlindungan terbaik, terutama bila anda semua balik kampung ramai-ramai nanti.”

Katanya, KKM sudah mula menggunakan ubat antiviral Paxlovid sebagai terapeutik untuk merawat pesakit Covid-19 berisiko tinggi bagi melindungi mereka daripada gejala serius.

Beliau berkata, antiviral berkenaan bertujuan merawat pesakit, bukannya sebagai pengganti vaksin serta memaklumkan KKM akan membeli lebih banyak ubat rawatan itu.

Katanya, pengujian yang diselia secara maya bagi RTK-Ag profesional Covid-19 kini dibenarkan untuk memudahkan orang ramai menjalani ujian itu.

“Kalau perlukan ujian profesional RTK bolehlah buat melalui ‘live video’ sahaja, dan anda boleh dapat keputusan ujian melalui e-mel, contohnya. Pengamal perubatan boleh menawarkan perkhidmatan ini kepada orang ramai.”

Beliau berkata, penerima vaksin primer Sinovac dan Sinopharm serta yang akan mengembara ke negara tidak mengiktiraf vaksin itu boleh mendapatkan vaksin lain bagi dos penggalak kedua melalui permohonan di aplikasi MySejahtera atau “walk-in” ke pusat pemberian vaksin (PPV).

Beliau berkata, maklumat lanjut berhubung PPV yang masih beroperasi boleh didapati di laman www.protecthealth.com.my.

Bagi remaja yang mempunyai sistem imun lemah atau “immunocompromised”, Khairy berkata, golongan itu kini boleh menerima dos penggalak.

“Sila semak dengan doktor anda untuk maklumat mengenai dos penggalak. Ini penting sebab terdapat sedikit peningkatan kes dalam kalangan remaja, jadi untuk kumpulan ini, bolehlah ambil dos penggalak untuk kekal selamat.”

Katanya, beliau akan mengumumkan perkembangan terbaharu berehubung sambutan Aidilfitri, termasuk beberapa pengumuman lain pada minggu depan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.