Perantau sebak pulang ke Sabah selepas 3 tahun

Perantau sebak pulang ke Sabah selepas 3 tahun

Huziah Siwis merantau ke Singapura untuk bekerja sebagai pembantu dapur pada 2019 dan tidak pernah pulang sejak itu.

Penolong Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Joniston Bangkuai (tiga dari kiri) mengalu-alukan pengembara dari Singapura. Ia merupakan penerbangan antarabangsa pertama untuk Sabah dalam tempoh dua tahun.
KOTA KINABALU:
Huziah Siwis tidak dapat menahan sebak sebaik pesawat dinaiki dari Singapura mendarat di Sabah selepas tiga tahun meninggalkan negeri kelahirannya.

Sebaik pesawat AirAsia dari Singapura mendarat jam 2.19 petang tadi, lelaki berusia 35 tahun itu berkata dia tidak sabar untuk pulang ke Kampung Entilibon, di daerah pedalaman Tongod, yang sebelum ini terhalang kerana perintah kawalan pergerakan.

Huziah, yang bekerja sebagai pembantu dapur di Singapura, kelihatan tenang namun kelu apabila diminta pemberita untuk menggambarkan perasaannya kembali ke negeri kelahiran selepas tiga tahun merantau.

“Saya tidak tahu nak cakap apa, namun ia satu perasaan yang sangat membahagiakan.

Huziah Siwis.

“Saya tidak dapat pulang ke kampung halaman untuk menjenguk keluarga, tetapi sekarang saya sudah boleh pulang selepas kerajaan membuka sempadan,” katanya sebak.

“Saya hanya mahu bersama keluarga sekarang kerana hanya ada dua minggu sebelum kembali ke Singapura.”

Huziah antara 119 penumpang penerbangan AK1794, yang merupakan ketibaan antarabangsa pertama Sabah susulan pembukaan semula sempadan pada 1 April.

Bagi pengurus minyak dan gas Thomas Fung, 40, ia sangat “menakjubkan” dapat pulang selepas dua tahun berjauhan.

Thomas Fung.

“Ia bagaikan mimpi. Seronok dapat kembali,” katanya.

Perkara pertama akan dilakukan Fung, berasal dari Inanam yang terletak tidak jauh dari Kota Kinabalu adalah makan tengah hari bersama keluarganya.

“Selepas itu saya ingin melihat kebun mangga kami sebelum bertemu rakan-rakan,” katanya.

Penolong Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Joniston Bangkuai, yang turut mengalu-alukan kedatangan tetamu, berkata ia adalah peristiwa penting kerana negeri itu menerima penerbangan antarabangsa pertamanya selepas dua tahun.

“Saya ingin memuji AirAsia kerana menjadi syarikat penerbangan pertama yang membuka semula penerbangan antarabangsa ke Sabah.

“Singapura adalah pasaran yang sangat penting kepada Sabah kerana ia telah menjadi pasaran tumpuan kami selama bertahun-tahun sekarang.

“Ia juga merupakan hab yang sangat penting bagi Sabah kerana ia menghubungkan pasaran tumpuan kami yang lain di seluruh dunia ke negeri ini,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.