Pakar pengangkutan alu-alukan janji MRT tingkatkan infrastruktur, perkhidmatan

Pakar pengangkutan alu-alukan janji MRT tingkatkan infrastruktur, perkhidmatan

Projek MRT3 mempunyai pendekatan yang tepat dalam cubaan mengintegrasikan pelbagai bentuk mobiliti, kata Goh Bok Yen.

Baru-baru ini, CEO MRT Zarif Hashim berkata, peningkatan perkhidmatan sedang diusahakan seiring dengan pembinaan Laluan Lingkaran MRT3.
PETALING JAYA:
Seorang perunding pengangkutan mengalu-alukan janji Ketua Pegawai Eksekutif Mass Rapid Transit (MRT) Zarif Hashim bahawa penambahbaikan infrastruktur MRT akan disokong oleh peningkatan perkhidmatan.

Goh Bok Yen mengalu-alukan usaha pendigitalan yang diutarakan oleh pengusaha pengangkutan awam itu dengan berkata, strategi yang baik diperlukan untuk menyesuaikan tabiat mobiliti rakyat Malaysia.

“Tidak kira betapa bagusnya sistem pengangkutan awam, tanpa strategi yang baik untuk menghalang penggunaan kenderaan persendirian, tiada cara untuk menggalakkan lebih penggunaan rangkaian transit di Kuala Lumpur dan Lembah Klang,” katanya kepada FMT.

Baru-baru ini, Zarif berkata, peningkatan perkhidmatan sedang diusahakan seiring dengan pembinaan Laluan Lingkaran MRT3.

Goh Bok Yen.

Tambahnya, Prasarana Malaysia Bhd, yang mengendalikan laluan MRT, melabur dalam teknologi untuk memastikan pendigitalan pengangkutan awam selanjutnya.

“Ini termasuk setiap bentuk mobiliti seperti perkongsian kereta, teksi dan e-panggilan, basikal, serta kenderaan peribadi dan berjalan kaki.

“Melalui usaha pendigitalan dan integrasi yang lebih baik, penumpang akan dapat menggunakan masa mereka dengan lebih cekap kerana mereka akan dengan mudah mengetahui di mana dan bagaimana untuk berhubung antara pelbagai laluan dalam rangkaian transit,” katanya.

Goh berkata, secara keseluruhannya, projek MRT3 mempunyai pendekatan yang tepat dalam cubaan mengintegrasikan pelbagai bentuk mobiliti, namun tegasnya, usaha meyakinkan orang ramai supaya tidak menggunakan kenderaan mereka masih menjadi cabaran.

Katanya, dengan siapnya laluan lingkaran itu, infrastruktur telah dilengkapkan dan yang tinggal hanyalah untuk mengintegrasikan sepenuhnya semua bentuk pengangkutan di dalam bandar dengan lancar.

Memuji usaha pendigitalan untuk meningkatkan kesalinghubungan secara keseluruhan, bekas timbalan menteri pengangkutan Aziz Kaprawi berkata, penting bagi penyedia perkhidmatan pengangkutan untuk menunjukkan bahawa sistem transit itu mudah, murah dan mesra rakyat.

Beliau berkata, inilah yang paling dicari oleh penumpang dan kerajaan harus memberi insentif bagi penggunaan pengangkutan awam.

Aziz Kaprawi

“Kerajaan boleh memberi insentif kepada penumpang, seperti memberikan diskaun bagi lebih banyak perjalanan menggunakan pengangkutan awam,” katanya.

“Bentuk insentif ini akan menggalakkan penggunaan rangkaian transit yang lebih meluas.”

Aziz juga berkata, kerajaan harus mencontohi bandar-bandar besar seperti London dan Singapura dalam memperkenalkan caj kesesakan dan meningkatkan kadar meletak kenderaan di seluruh Kuala Lumpur.

Beliau menggesa Kementerian Pengangkutan agar mengambil peranan aktif dalam menyatukan pelbagai penyedia perkhidmatan pengangkutan dan menerajui usaha pendigitalan untuk meningkatkan mobiliti dan kesalinghubungan di Kuala Lumpur.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.