
Pereka grafik dan aktivis itu ditahan di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi selepas berkongsi imej grafik satira memaparkan seekor beruk memakai tengkolok dan berkeris seperti bangsawan.
“Aku dah ‘check out’ (daftar keluar) dari hotel (lokap) Dang Wangi! Pakej penginapan 2 hari 1 malam ‘courtesy of Mojo Jojo’!
“Lokasi yang menarik, persekitaran yang sempurna dan kebajikan yang hebat. Makanan juga sedap, siap dapat pakej sahur dan iftar yang dihantar ke bilik.
“Akan datang semula nanti pada masa akan datang. Aku bagi empat bintang,” katanya di Facebook hari ini.
Fahmi turut memuat naik gambarnya di depan IPD Dang Wangi sambil membuat gaya “peace”.
Aktivis itu ditahan Unit Siasatan Jenayah Terkelas Bukit Aman pada 4.20 petang 14 April lalu ketika hadir memberi keterangan di IPD Dang Wangi.
Polis turut merampas sebuah telefon bimbit dan kad SIM untuk tujuan siasatan bawah Akta Hasutan 1948 dan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.