Tolak MoU hanya ‘pandangan’ Umno, PN akan bincang dengan Ismail, kata Hadi

Tolak MoU hanya ‘pandangan’ Umno, PN akan bincang dengan Ismail, kata Hadi

Keputusan Umno berkaitan Mou hanya pandangan parti itu kata Presiden PAS Abdul Hadi Awang.

Presiden PAS Abdul Hadi Awang berkata. perbincangan berhubung memorandum persefahaman antara kerajaan dan Pakatan Harapan perlu dibincangkan bersama parti lain yang membentuk kerajaan. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Perikatan Nasional (PN) akan mengadakan perbincangan dengan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob mengenai keputusan tidak meneruskan memorandum persefahaman (MoU) antara Putrajaya dan Pakatan Harapan (PH), kata Presiden PAS Abdul Hadi Awang.

Hadi berkata demikian meskipun Ismail mengumumkan pagi ini bahawa “kerajaan akan ikut keputusan” Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno tidak mahukan MoU itu diperbaharui selepas ia tamat pada akhir Julai ini.

Ahli Parlimen Marang itu membayangkan bahawa PN tidak terikat dengan keputusan Umno yang tidak mahukan MoU kerjasama itu yang diusahakan oleh Ismail untuk memulihkan kestabilan politik negara.

“MoU kita akan buat keputusan bersama. Satu perjumpaan akan dibuat PN dengan perdana menteri, dengan presiden PN, saya sendiri dan parti komponen. Kita bersetuju sebarang keputusan mesti dibuat bersama,” katanya kepada pemberita.

Hadi menegaskan, keputusan mengenai MoU itu harus mencerminkan ketetapan kerajaan dengan PN sebagai tonggaknya. PAS adalah parti komponen PN.

“Kerana kerajaan ini kerajaan PN. Dominasi 70 kerusi adalah PN dan gabungan dia, Umno sebahagian daripada dia. (Pendirian) Umno itu satu pandangan,” katanya.

Semalam, Setiausaha Agung Umno Ahmad Maslan mengumumkan bahawa MKT Umno membuat ketetapan bahawa MoU kerajaan dan PH yang berakhir 31 Julai ini, tidak akan diteruskan.

Ismail berkata, kerajaan pimpinannya buat masa ini akan mengikut keputusan MKT Umno itu, tetapi tidak menolak kemungkinan sebarang perubahan boleh berlaku, selepas berakhir Julai nanti.

PH sebelum ini menawar untuk memperbaharui MoU itu dengan syarat Ismail tidak segera mengadakan pilihan raya umum, sesuatu yang dituntut oleh Umno ekoran kemenangan besarnya pada pilihan raya negeri (PRN) Melaka dan Johor.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.