3 ‘polis’ ditahan dipercayai terbabit kes pukul, samun

3 ‘polis’ ditahan dipercayai terbabit kes pukul, samun

Dua daripada suspek menyamar sebagai anggota polis lalu menyamun seorang lelaki, pada 31 Mac lalu.

Ketiga-tiga suspek berkenaan mempunyai dua hingga 10 pelbagai rekod lampau berkaitan jenayah serta dadah.
PETALING JAYA:
Taktik menyamar sebagai polis untuk memerangkap mangsa terbongkar susulan penangkapan tiga lelaki, dalam serbuan berasingan, di Bayan Lepas, dekat George Town, kelmarin.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang Rahimi Ra’ais, berkata tiga lelaki berusia 24 hingga 30-an itu, ditahan bermula 1 tengah hari susulan laporan polis dibuat seorang lelaki yang menjadi mangsa mereka.

Katanya, mangsa yang bekerja di sebuah kedai makan di Jalan Datuk Keramat, George Town, pada 11.30 malam, 31 Mac lalu didatangi dua lelaki mengaku anggota polis sebelum suspek membawanya ke kawasan gelap di bahagian belakang kedai berkenaan.

“Dua lelaki itu kemudiannya bertindak menumbuk perut mangsa, sebelum memaksanya menyerahkan duit dengan cara pemindahan wang secara dalam talian sebanyak RM1,000 ke satu akaun bank yang diarahkan suspek,” katanya memetik laporan Bernama.

Katanya, siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengesan sama ada tiga lelaki itu turut terlibat dalam beberapa kes menyamar polis atau jenayah lain, di Pulau Pinang.

Rahimi berkata, sehubungan penahanan tiga lelaki itu, polis merampas dua unit telefon bimbit, satu unit beg, satu paket syabu dan sekeping kad bank, untuk siasatan lanjut.

“Pemeriksaan mendapati mereka yang ditahan bekerja sebagai pengawal keselamatan, penghantar barang dan penganggur itu, mempunyai dua hingga 10 pelbagai rekod lampau berkaitan jenayah serta dadah,” katanya.

Katanya tiga lelaki yang positif dadah itu, kini direman sehingga 19 Apr bagi membantu siasatan dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 395 serta 170 Kanun Keseksaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.