MRT janjikan penambahbaikan lebih menyeluruh

MRT janjikan penambahbaikan lebih menyeluruh

MRT berkata, peningkatan kualiti infrastruktur dan perkhidmatan akan mendorong kepada penggunaan pengangkutan awam yang lebih meluas.

Ketua Pegawai Eksekutif MRT Corp Zarif Hashim berkata penumpang boleh menantikan penambahbaikan perkhidmatan yang bakal dilakukan untuk mereka.
PETALING JAYA:
Penambahbaikan infrastruktur yang berterusan kepada rangkaian Transit Aliran Massa (MRT) akan dipadankan dengan penambahbaikan perkhidmatannya sekali, kata Ketua Pegawai Eksekutif MRT Corp, Zarif Hashim.

Dalam temu bual dengan FMT, Zarif berkata, penambahbaikan itu dilakukan seiring dengan pembinaan Laluan Bulatan MRT3.

Beliau berkata, Prasarana Malaysia Bhd yang mengendalikan laluan MRT, membuat pelaburan dalam teknologi bagi memastikan teknologi pendigitalan yang selanjutnya dimanfaatkan dalam pengangkutan awam.

“Ketika kami membina MRT3, terdapat juga penambahbaikan dari segi perkhidmatan mobiliti komuter hujung ke hujung yang diterajui oleh Prasarana.

“Ini termasuk juga kesemua bentuk mobiliti lain seperti perkongsian kereta, teksi dan e-hailing, basikal, kenderaan peribadi dan berjalan kaki.

“Dengan usaha pendigitalan dan integrasi yang lebih baik, penumpang akan dapat meningkatkan kecekapan penggunaan masa kerana mereka akan dapat mengetahui di mana dan bagaimana untuk menyambung kepada rangkaian transit yang pelbagai dengan lebih mudah,” katanya.

Zarif berkata, sebaik sahaja penambahbaikan ini dilaksanakan, kerajaan mungkin akan mencari jalan bagi mengurangkan penggunaan kenderaan persendirian untuk perjalanan ke pusat bandar.

“Ini mungkin termasuk mengenakan bayaran kenderaan dan alam sekitar, meningkatkan bayaran caj tempat letak kereta di sekitar kawasan bandar atau menyemak semula subsidi bahan api bagi kawasan yang mempunyai pengangkutan awam yang baik.

“Atas sebab-sebab ini, kami berharap rangkaian yang ditambah baik akan dapat menggalakkan penggunaan pengangkutan awam dalam kalangan orang ramai berbanding memandu sendiri,” katanya.

MRT3 adalah jajaran lingkaran sepanjang 50.8km meliputi perimeter Kuala Lumpur.

Dianggarkan bernilai RM31 bilion dengan tambahan RM8 bilion yang diperuntukkan untuk pemerolehan tanah, laluan tersebut terdiri daripada 31 stesen yang merangkumi 10 stesen pertukaran dengan laluan rel sedia ada di Lembah Klang.

Ia dijangka beroperasi sepenuhnya menjelang 2030 dengan fasa pertama ditetapkan untuk memulakan operasi pada 2028.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.