
Beliau berkata, duta besar Malaysia ke Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan pegawai di peringkat bawah tidak boleh dipersalahkan atas kegagalan itu yang berpunca daripada kecuaian dan kelembapan Saifuddin.
“Dalam pengalaman saya belasan tahun, sebagai menteri dalam kerajaan dan sebelumnya, belum pernah kita dengar lawatan rasmi perdana menteri tidak disambut oleh negara yang seharusnya mengundangnya.
“Ada satu kecelaruan dalam diplomasi kita dan menteri luar harus bertanggungjawab. Dia perlu menjawab kerana belum pernah negara terhina begitu rupa,” katanya di Facebook hari ini.
Sebelum ini, FMT melaporkan pegawai Kementerian Luar Negeri dipercayai berang selepas dua diplomat kanan Malaysia di UAE diarahkan pulang dan “direhatkan” berikutan isu sambutan ketibaan Ismail di sana bulan lalu.
Sumber dalaman berkata, Duta Besar, Mohd Tarid Sufian dan Konsul Jeneral di Dubai, Mohd Hasril Abdul Hamid merupakan dua pegawai kanan yang hadir di lapangan terbang untuk menyambut Ismail ketika penerbangannya mendarat di Dubai.
Tidak ada pegawai tertinggi UAE hadir sebagaimana menjadi protokol biasa bagi menteri kanan negara tuan rumah ditugaskan secara rasmi untuk menerima tetamu kenamaan asing.
Wisma Putra dalam kenyataan pada 11 April lalu berkata, duta besar Malaysia ke UAE dan konsul jeneral Malaysia di Dubai dipanggil pulang setelah gagal menyelaras urusan pentadbiran dan logistik semasa lawatan Ismail ke UAE pada 29 hingga 31 Mac lalu.