Wanita maut tergelincir ketika cuba rakam gambar di ‘Blue Lagoon’

Wanita maut tergelincir ketika cuba rakam gambar di ‘Blue Lagoon’

Mangsa, V Aruna dikatakan tergelincir jatuh dari tebing Tasik Biru Kangkar Pulai atau 'Blue Lagoon' ketika cuba merakam pemandangan petang semalam.

Mayat mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut dan operasi tamat pada 5.08 petang, menurut bomba. (Gambar Bomba)
PETALING JAYA:
Seorang wanita maut selepas tergelincir jatuh dari tebing tasik berketinggian 23 meter ketika cuba merakam gambar pemandangan di Tasik Biru Kangkar Pulai atau ‘Blue Lagoon’di Johor Bahru, petang semalam.

Menurut Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Skudai Mohd Riduan Akhyar, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian pada 3.06 petang.

Riduan berkata, sebuah jentera bersama Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) serta kenderaan pacuan empat roda dihantar ke lokasi kejadian.dengan kekuatan 11 anggota diketuai Pegawai Bomba Kanan II, Suraini Adnan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Skudai.

Katanya, siasatan mendapati seorang wanita, V Aruna, 25, terjatuh akibat tergelincir dan suaminya memaklumkan kejadian berlaku ketika mangsa cuba merakam gambar di situ.

“Difahamkan, suami mangsa hadir bersama ketika mereka melakukan aktiviti mendaki.

“Anggota bomba menemui mangsa di sekitar kawasan anak sungai dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

“Mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut dan operasi tamat pada 5.08 petang,” katanya dalam kenyataan, menurut laporan Harian Metro.

Difahamkan tasik yang terletak bersebelahan sebuah kuari itu adalah kawasan larangan, namun menjadi tarikan dalam kalangan ramai penggemar aktiviti mendaki yang tidak menghiraukan keselamatan untuk melihat pemandangan indah di kawasan terbabit.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.