Proses tender MRT3 akan dirombak, projek gabung rumah mampu milik

Proses tender MRT3 akan dirombak, projek gabung rumah mampu milik

Ini bertujuan untuk meningkatkan integriti dan menampung kekurangan rumah mampu milik di bandar, kata CEO MRT Corp Zarif Hashim.

Laluan Lingkaran MRT3 yang akan dibina sepanjang perimeter Kuala Lumpur dijadualkan beroperasi sepenuhnya menjelang 2030.
PETALING JAYA:
Walaupun rangkaian pengangkutan yang komprehensif menjadi teras kepada projek Laluan Lingkaran Mass Rapid Transit 3 (MRT3), ia juga akan menjurus ke arah membangunkan negara, meremajakan ekonomi dan meningkatkan daya saing negara di rantau ini.

Untuk mencapai matlamat ini, akan ada perubahan besar bagi menghentikan amalan tidak jujur, menurut Ketua Pegawai Eksekutif MRT Corp Sdn Bhd Zarif Hashim, yang berperanan sebagai pemaju projek dan pemilik aset.

Laluan Lingkaran MRT3, yang akan dibina sepanjang perimeter Kuala Lumpur, dijadualkan beroperasi sepenuhnya menjelang 2030. Laluan sepanjang 51km itu terdiri daripada gabungan 40km landasan bertingkat dan 11km terowong.

Sebagai permulaan, proses tender akan mengalami perubahan bagi meningkatkan integriti, kata Zarif ketika memberi taklimat kepada bakal pelabur, kontraktor dan ahli perniagaan semalam.

Selain itu, rumah mampu milik akan dibina di atas kemudahan tempat letak kenderaan bertingkat di sekurang-kurangnya lapan perhentian, bukan sahaja bagi memaksimumkan penggunaan tanah tetapi juga untuk menampung kekurangan rumah mampu milik di bandar.

“Walaupun kebanyakan syarikat bercakap mengenai dasar ‘tiada rasuah’, kami akan melangkah lebih jauh dengan meletakkan halangan dalam sistem,” kata Zarif.

Sebagai contoh, avatar dan lencongan palsu, sama seperti ciri keselamatan pada “blockchain”, akan diperkenalkan dalam proses penilaian. Ini akan menjamin keselamatan dan kebolehkesanan tanpa menjejaskan integriti, katanya.

MRT Corp dijangka membuka tender bagi projek itu bulan depan.

Anggaran awal kos pembinaan adalah RM31 bilion, sama seperti MRT2 laluan Sungai Buloh-Serdang-Putrajaya yang dijangka mula beroperasi pada suku tahun berikutnya.

Pemerolehan tanah dijangka menelan belanja RM8 bilion lagi. Kementerian Kewangan telah memberi komitmen sehingga RM50 bilion untuk projek itu.

Zarif berkata, langkah-langkah akan diambil untuk mencegah kebocoran dana bagi memastikan manfaat sepenuhnya bagi pengguna, kontraktor, pekerja dan ekonomi.

Selaras dengan itu katanya, pihak yang ingin memenangi tender itu harus mengelak daripada meminta maklumat sulit dari segi komersial daripada kakitangan MRT.

“Itu termasuk saya. Tolong jaga integriti pada setiap masa,” nasihatnya.

Beliau berkata, walaupun ramai kakitangan MRT akan mengetahui sesuatu tentang projek itu, namun tiada sesiapa yang akan mengetahui segala-galanya.

Mengenai cadangan membina rumah mampu milik, Zarif berkata, pihak yang berminat akan dijemput untuk membangunkannya di atas tempat letak kenderaan bertingkat.

Ia akan menjadi usaha komersial, tetapi kos tanah akan ditanggung oleh MRT Corp kerana ia terletak di lokasi yang sama dengan tempat letak kenderaan bertingkat.

Beliau memberi amaran kepada pemaju agar tidak terlibat dalam amalan Ali Baba, dengan pihak yang memperoleh projek mendapatkan pihak lain untuk membinanya.

“Pembida akan dikehendaki mendedahkan siapa pemilik berfaedah muktamad sehingga ke peringkat individu. Rakan kongsi Bumiputera mesti menjadi pemain yang aktif dan syarat khusus akan dikenakan,” tambahnya.

MRT3 bukan sekadar projek pembinaan, tetapi juga satu “inisiatif transformasi”, tegas Zarif.

“Ia mencari cara baharu untuk membangunkan negara, meremajakan ekonomi dan meningkatkan daya saing negara di rantau ini. Namun transformasi ini mesti disertai dengan perubahan dalam program pengurusan,” katanya.

“Kami sedang mencari pemimpin perubahan dan jaguh Malaysia untuk bekerjasama dengan kami dan kerajaan dalam perjalanan ini,” katanya.

Zarif berkata, lima pemenang utama dalam proses tender tersebut bukan sahaja dijangka menjaga pihak lain dalam semangat Keluarga Malaysia tetapi juga menghasilkan program peningkatan ekonomi bagi memastikan impak MRT3 dapat dirasai oleh semua, termasuk yang bukan dalam sektor pembinaan.

Memandangkan objektif MRT3 adalah untuk memulihkan ekonomi tempatan, kebanyakan kontrak akan diberikan kepada syarikat Malaysia bagi meminimumkan aliran keluar tukaran asing. Bagaimanapun, penyertaan asing secara minoriti dijangka ada dalam sesetengah kontrak.

Zarif berkata, langkah-langkah juga akan diambil untuk mengurangkan kebergantungan kepada buruh asing sehingga kurang daripada 30%.

“Projek MRT3 juga adalah mengenai usaha memupuk jaguh tempatan yang akhirnya akan mempunyai bakat dan keupayaan untuk melaksanakan projek di mana-mana sahaja di seluruh dunia dan diharapkan PKS tempatan kita juga akan mendapat manfaat daripadanya,” katanya.

Beliau berharap projek itu akan memberi dorongan yang diperlukan untuk membangunkan pemain sistem rel tempatan yang kuat, yang akan dapat melaksanakan kontrak sistem “turnkey” yang besar atau membaiki keseluruhan sistem rel di luar negara.

Zarif berkata, projek MRT3 itu bertujuan untuk melahirkan firma yang mampu membiayai projek sistem yang besar dan mempunyai rekod prestasi penyelenggaraan yang baik.

“Bagi mengembangkan kelebihan daya saing, syarikat-syarikat Malaysia mesti mempunyai teknologi, teknik dan hak harta intelek sendiri,” katanya.

Projek MRT3 akan berusaha untuk menambah nilai penyelesaian Sistem Binaan Berindustri (IBS) dan pembinaan modular, katanya.

“Kita perlu menukar kaedah pembinaan bagi mengurangkan kebergantungan kepada buruh asing,” tambahnya.

“Projek MRT3 juga akan menggunakan strategi menegak untuk mendalami dan mengukuhkan teknologi rel Malaysia. Kita perlu meningkatkan teknologi tersebut untuk memenuhi standard global.”

Setelah siap, MRT3 akan menambah baik kesalinghubungan rel di Lembah Klang, memberi akses rel transit kepada mereka yang tidak mempunyai atau kurang akses kepada perkhidmatan pengangkutan awam. Ia akan membentuk sebahagian daripada Sistem Transit Bersepadu Greater KL/Lembah Klang dan dihubungkan dengan laluan MRT, transit aliran ringan, KTM Komuter dan monorel sedia ada.

Ia akan mempunyai 31 stesen, termasuk 24 stesen bertingkat dan tujuh stesen bawah tanah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.