Mangsa sindiket scammer di Kemboja dikurung, kebulur dan direnjat elektrik

Mangsa sindiket scammer di Kemboja dikurung, kebulur dan direnjat elektrik

Peguam mewakili 12 mangsa itu berkata, mangsa dijanjikan gaji lumayan RM7,000, tetapi mereka tidak pernah menerima bayaran itu.

Seramai 12 daripada 16 rakyat Malaysia yang menjadi mangsa penipuan sindiket scammer di Kemboja tiba di klia2 semalam. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Selain dikurung dan dibiarkan kebuluran, 16 rakyat Malaysia yang dipaksa bekerja sebagai operator panggilan penipuan oleh sindiket scammer di Kemboja turut didera dengan renjatan elektrik.

Penyeksaan dilalui mereka berakhir, apabila 12 daripadanya tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) kira-kira 8.10 malam semalam hasil kerjasama polis Malaysia dan Kemboja, Polis Asean (Aseanapol) dan Wisma Putra.

Peguam yang mewakili 12 mangsa lelaki itu, Heng Zhi Li berkata, pihaknya menyiasat selama tiga bulan sejak Januari lalu, selepas menerima aduan daripada kakak seorang mangsa terbabit memaklumkan adiknya dikurung sindiket di luar negara.

Susulan itu, pihaknya bekerjasama dengan semua ahli keluarga mangsa bagi mendapatkan butiran lengkap.

Katanya, butiran itu diserahkan kepada Majlis Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (Mapo) dua minggu lalu bagi mengesan koordinat bangunan didiami mangsa, sebelum pihak berkuasa Kemboja berjaya mengesan dan menyelamatkan mereka pada 4 April lalu.

“Mangsa memaklumkan mereka takut melarikan diri kerana ada di kalangan mereka dipukul, ditampar dan didera dengan renjatan elektrik,” katanya menurut laporan Harian Metro.

Heng berkata, kumpulan rakyat Malaysia ini berlepas ke Kemboja mulai September 2021 secara berperingkat, dengan dibiayai sindiket dipercayai dari China yang menyediakan tiket penerbangan.

Katanya, mangsa yang terpedaya dengan iklan pekerjaan sebagai pegawai khidmat pelanggan dijanjikan gaji lumayan RM7,000, tetapi mereka tidak pernah menerima bayaran itu.

Sebaliknya, beliau berkata, mangsa hanya diberikan kad tunai untuk membeli makanan dan barangan dalam bangunan terbabit yang dikawal ahli sindiket dilengkapi senjata api.

“Semua mangsa mendapat permit kerja dari kerajaan Kemboja yang dipalsukan sindiket berkenaan. Salah seorang keluarga mangsa sebelum ini sudah membayar wang tebusan RM18,000 bagi membebaskan mangsa.”

Heng berlepas ke Kemboja Sabtu lalu untuk mengiringi kepulangan kumpulan rakyat Malaysia itu yang terkandas bersama Ahli Jawatankuasa Pemuda MCA, Tan Jie Sen.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.