
Kenaikan harga tambang bas ekspres tersebut berkuat kuasa sepanjang tempoh sah laku Lesen Perubahan Sementara (LPS) yang bermula 29 April depan hingga 8 Mei.
Presiden Persatuan Pengusaha Bas Seluruh Malaysia (PMBOA), Mohamad Ashfar Ali berkata, kerajaan telah menetapkan kadar tambang pada RM0.10 setiap kilometer ke atas tambang bas ekspres sedia ada sepanjang tempoh tersebut.
Beliau juga berkata, kenaikan harga dalam lingkungan 10% tersebut sebenarnya digunakan untuk menampung kos pekerja dan perjalanan sempena Hari Raya Aidilfitri serta berperanan sebagai insurans bas baharu.
“Sebanyak 4,700 bas ekspres akan beroperasi sepanjang tempoh tersebut membawa 141,000 penumpang ke destinasi seluruh negara,” katanya menurut laporan Utusan Malaysia.
Peningkatan tersebut memperlihatkan harga tiket bas misalnya dari Terminal Bersepadu Selatan (TBS), Kuala Lumpur ke Kota Bharu, Kelantan mengalami kenaikan tambang daripada RM46.20 kepada RM50.20, manakala peningkatan harga tambang daripada RM30 kepada RM35 bagi bas menuju ke Larkin, Johor.
Berdasarkan semakan di laman sesawang redbus.my, sistem tempahan tiket bas ekspres dalam talian juga menunjukkan perjalanan sehala dari TBS ke Ipoh naik daripada RM20 kepada RM24.
Manakala itu bagi perjalanan dari TBS ke Terminal Bas Larkin, Johor pula turut berlaku peningkatan harga daripada RM30 kepada RM35, iaitu naik antara RM5 hingga RM8.
Mohamad Ashfar berkata, pihaknya tidak mempunyai rancangan untuk menambah kuantiti bas sepanjang tempoh Aidilfitri.
“Disebabkan terdapat jangkaan bahawa permintaan tiket bas meningkat dan dikhuatiri menambah potensi risiko jangkitan Covid-19, saya ingin berpesan kepada penumpang supaya hadir 30 minit awal bagi memastikan pematuhan SOP,” jelasnya.
Pada masa yang sama, Ketua Aktivis Pengangkutan Awam Darat, Kamarudin Hussain menyambut baik peningkatan tersebut dan berharap masyarakat awam menerima kenyataan tersebut.
“Kalau kerajaan sudah menaikkan kadar tambang, saya rasa itu adalah satu pendekatan baik sebab kita tengok hari ini alat ganti dan pelbagai barangan lain untuk melancarkan perjalanan meningkat dengan drastik.
“Jadi kenaikan tersebut secara tidak langsung boleh menampung kos operasi syarikat-syarikat bas ekspres,” katanya.